Pelbagai Aktiviti Sempena Kepengerusian ASEAN, Ulang Tahun Ke-60 Malaysia-Singapura - Pesuruhjaya Tinggi
Oleh Nur Ashikin Abdul Aziz
SINGAPURA, 14 Feb (Bernama) -- Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Singapura akan melaksanakan pelbagai aktiviti berfokuskan hubungan antara rakyat sempena sambutan ulang tahun ke-60 hubungan dua hala Malaysia-Singapura dan kepengerusian ASEAN Malaysia tahun ini.
Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Singapura Datuk Dr Azfar Mohamad Mustafar berkata tumpuan antara rakyat diberikan sesuai dengan peranan mereka sebagai ‘tulang belakang’ dalam hubungan antara Malaysia dan Singapura serta antara negara di rantau ini.
“Kita cadang anjur seminar atau meja bulat membincangkan bagaimana hubungan antara rakyat boleh terus diperkukuhkan supaya akhirnya kita boleh semai semangat kebersamaan antara rakyat kedua-dua negara.
“Kita juga akan bincangkan topik yang sesuai dengan tema 'Keterangkuman dan Kemampanan' dan isu rakyat yang dihadapi secara bersama oleh negara ASEAN, contohnya masyarakat menua,” katanya kepada Bernama pada sambutan Tahun Baharu Cina anjuran Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Singapura, pada Jumaat.
Azfar berkata Suruhanjaya Tinggi juga bercadang menganjurkan forum perniagaan untuk mempromosi peluang perniagaan dan pelaburan di Malaysia pada April, serta menjadi hos sambutan Hari ASEAN pada bulan Ogos.
Namun, katanya sambutan Hari ASEAN itu masih dalam perbincangan dengan perwakilan negara ASEAN lain di Singapura.
Sambutan Tahun Baharu Cina yang diadakan di Rumah Malaysia itu dihadiri lebih 150 tetamu termasuk perwakilan asing, komuniti perniagaan, serta diaspora Malaysia.
Tetamu dijamu pelbagai juadah dan kuih muih tradisonal Malaysia, serta dihiburkan dengan tarian singa dipersembahkan oleh Yi Quan Athletic Association, Singapore dengan kerjasama Persatuan Malaysia di Singapura (MASIS).
-- BERNAMA