Fahmi Tinjau Persiapan Pusat Media Sidang Kemuncak ASEAN Ke-46

Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil beramah mesra dengan jurugambar Bernama semasa melakukan tinjauan di Pusat Media Antarabangsa hari ini sempena Sidang Kemuncak ASEAN yang akan berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur. Turut mengiringi Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama), Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin (berdiri dua kanan) bersama Ketua Pengarang Bernama Arul Rajoo Durar Raj (berdiri kanan). — fotoBERNAMA (2025) HAK CIPTA TERPELIHARA
21/05/2025 03:25 PM

KUALA LUMPUR, 21 Mei (Bernama) -- Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil hari ini meninjau persiapan di Pusat Media sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).

Ketibaan beliau disambut Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin dan Ketua Pengarang Bernama Arul Rajoo Durar Raj.

Turut hadir Timbalan Ketua Pengarang (Perkhidmatan Berita Ekonomi) Bernama,  Azlina Aziz.

Petugas media dari dalam dan luar negara mula berkumpul di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur bagi membuat liputan Sedang Kemuncak ASEAN Ke-46 dan Sidang Kemuncak berkaitan yang akan bermula 26 Mei ini. Laporan media akan menjadi tumpuan negara ASEAN sepanjang berlangsung Sidang Kemuncak ASEAN-Majlis Kerjasama Teluk (GCC) Ke-2 dan Sidang Kemuncak ASEAN-GCC_China yang akan menjadi platfom penting untuk memperkukuhkan kerjasama serantau dan antara rantau. — fotoBERNAMA (2025) HAK CIPTA TERPELIHARA

Sebagai Pengerusi dan tuan rumah ASEAN 2025, Malaysia akan menganjurkan Sidang Kemuncak ASEAN Ke-46 dan Sidang Kemuncak Berkaitan di KLCC bermula 26 hingga 27 Mei.

Bersempena dengan persidangan itu, dua mesyuarat peringkat tinggi turut dijadualkan berlangsung iaitu Sidang Kemuncak ASEAN-Majlis Kerjasama Teluk (GCC) Ke-2 dan Sidang Kemuncak ASEAN-GCC-China, yang akan menjadi platform penting untuk memperkukuh kerjasama serantau dan antara rantau.

Sebagai persiapan menyambut kehadiran pegawai kanan, menteri dan ketua kerajaan ke ibu negara, Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah menjalankan beberapa latihan dan simulasi keselamatan bagi memastikan kelancaran serta tahap keselamatan sepanjang persidangan berlangsung.

Blok ASEAN terdiri daripada negara pengasas iaitu Malaysia, Indonesia, Singapura, Thailand dan Filipina.

Anggota lain ialah Brunei, Laos, Vietnam, Kemboja dan Myanmar.

Negara GCC pula merangkumi Arab Saudi, Bahrain, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Qatar, Oman dan Kuwait.

-- BERNAMA