Lee, Anwar Bincang Perjanjian Perdagangan Bebas, Perluas Kerjasama Malaysia-Korea Selatan

Bendera Malaysia bersama bendera Korea Selatan dipasang bagi menyambut kedatangan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika tinjauan fotoBernama, hari ini. Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mengadakan lawatan rasmi ke Korea Selatan selama tiga hari bermula 24-26 November 2024. --fotoBERNAMA (2024) HAK CIPTA TERPELIHARA
23/06/2025 03:25 PM

SEOUL, 23 Jun (Bernama-Yonhap) -- Presiden Korea Selatan Lee Jae Myung dan Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Anwar Ibrahim bersetuju untuk bekerjasama memperluaskan hubungan dua hala secara “substantif dan saling menguntungkan”, termasuk usaha memuktamadkan perjanjian perdagangan bebas antara kedua-dua negara, menurut Pejabat Presiden Korea Selatan.

Agensi berita Yonhap melaporkan bahawa kedua-dua pemimpin mencapai persefahaman itu semasa perbualan telefon pertama mereka pada Isnin, sambil menyuarakan harapan untuk terus memperkukuh perkongsian strategik antara Korea Selatan dan Malaysia, kata jurucakap presiden, Kang Yu-jung kepada media.

“Kedua-dua pemimpin bersetuju untuk memperluas kerjasama saling menguntungkan dalam pelbagai bidang termasuk perdagangan, pelaburan, infrastruktur, transformasi digital, pertumbuhan hijau dan pertahanan, khususnya dengan jangkaan termeterainya perjanjian perdagangan bebas Korea Selatan-Malaysia tahun ini,” katanya.

Presiden Lee turut menegaskan komitmennya untuk mengukuhkan persahabatan dan kerjasama dua hala yang telah terjalin selama beberapa dekad berasaskan kepercayaan serta persefahaman bersama.

Tahun ini menandakan ulang tahun ke-65 hubungan diplomatik antara Malaysia dan Korea Selatan.

Kedua-dua pemimpin juga berkongsi pandangan bahawa Malaysia dan Korea Selatan mampu menyumbang secara bermakna kepada pengukuhan kerjasama antarabangsa memandangkan masing-masing bakal menjadi tuan rumah Sidang Kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) dan mesyuarat-mesyuarat berkaitan Persatuan Negara-negara Asia Tenggara (ASEAN) pada penghujung tahun ini.

Dalam perbualan itu, Anwar turut mengucapkan tahniah kepada Lee atas pelantikannya sebagai Presiden, dan Lee menyatakan penghargaan atas ucapan itu.

-- BERNAMA-YONHAP