Pembangunan Mampan Perlu Menggabungkan Inovasi Digital Dengan Pemuliharaan Budaya

Kredit: X@NgaKorMing
15/09/2025 06:43 PM

KUALA LUMPUR, 15 Sept (Bernama) -- Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming menggesa ASEAN dan China memperkukuh kerjasama dalam pembangunan bandar mampan, dengan menggabungkan inovasi digital serta pemuliharaan budaya.

Berucap pada Mesyuarat Meja Bulat Menteri ASEAN-China Mengenai Pembinaan 2025 di Guilin, China, Nga berkata keperluan mendesak untuk bersedia menghadapi pertumbuhan pesat penduduk bandar di rantau ini.

Nga, yang juga Presiden Perhimpunan UN-Habitat memberi amaran peningkatan permintaan terhadap perumahan, pengangkutan dan infrastruktur boleh memberi tekanan besar terhadap sumber serta memperluas jurang ketidaksamarataan sosial sekiranya tiada langkah proaktif diambil.

“Dalam krisis ada peluang. Ini adalah peluang untuk kita meletakkan diri sebagai peneraju global dalam membangunkan bandar pintar, inklusif dan peka iklim.

“Bersama-sama, marilah kita membina bandar yang bukan sahaja dipacu digital, tetapi juga kaya dengan nilai budaya. Biarlah kemajuan dikecapi tanpa mengorbankan jati diri,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan kementerian hari ini.

Beliau berkata pembangunan berkualiti tinggi juga perlu mempunyai jiwa, yang mencerminkan semangat rakyatnya.

“Pengalaman negara kita membuktikan warisan budaya dan kemajuan boleh wujud bersama, hasil gabungan unik Malaysia daripada pelbagai budaya, agama dan tradisi. Daripada keindahan binaan rumah kayu Melayu hinggalah kepada deretan rumah kedai di George Town dan Melaka, semuanya mengisahkan cerita masyarakatnya,” katanya.

Nga berkata Malaysia telah mencapai kejayaan ketara dalam transformasi digital, antaranya melalui penggunaan Sistem Binaan Berindustri (IBS) yang memendekkan tempoh pembinaan, meningkatkan kualiti serta mengurangkan dengan signifikan sisa binaan di tapak projek perumahan awam.

Beliau berkata Pemodelan Maklumat Bangunan (BIM) turut merevolusikan reka bentuk dan pengurusan projek dengan mengurangkan ralat serta meningkatkan koordinasi, manakala teknologi baharu seperti dron, pembinaan modular dan alat pengurusan projek digital sedang diterokai bagi memperkukuh lagi aspek keselamatan dan kecekapan.

-- BERNAMA