Pertemuan Menteri Ekonomi ASEAN Medan Penting Pacu Dagangan Dalam Realiti Mencabar
Oleh Nor Baizura Basri
KUALA LUMPUR, 21 Sept (Bernama) -- Kalangan Menteri-Menteri Ekonomi ASEAN bakal berhimpun di sini pada minggu depan yang dilihat sebagai medan penting bagi memuktamadkan pelbagai agenda utama, terutamanya dalam realiti dunia diasak cabaran ekonomi masa kini.
Pada sesi Mesyuarat Menteri Ekonomi ASEAN (AEM) itu, tumpuan termasuk memperkukuh aspek perdagangan dan pelaburan, sama ada dalam kalangan negara serantau ini serta yang membabitkan rakan dagang di luar rantau.
Agenda itu kemudiannya akan dibentangkan kepada para pemimpin ASEAN serta rakan dialog bagi mendapatkan pengesahan sebelum dibawa ke sidang kemuncak yang bakal berlangsung pada bulan depan.
Sudah pasti, usaha itu memerlukan ekonomi atau negara-negara Asia Tenggara mengambil langkah jelas bagi memperdalam usaha penyepaduan ekonomi, meliberalisasi perdagangan dengan mengurangkan halangan serta meletakkan rantau ini sebagai destinasi menarik untuk perdagangan dan pelaburan global.
Kesemua ini bertujuan memperkukuh ekonomi masing-masing bagi menyerap kejutan serta impak jangka panjang daripada pelaksanaan langkah tarif dikenakan oleh Amerika Syarikat (AS).
Sehubungan itu, tidak dinafikan AEM ke-57 dan mesyuarat-mesyuarat berkaitan yang akan dipengerusikan oleh Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz, adalah bertepatan bagi memperkukuh kesepaduan rantau ini dalam mengharungi elemen yang berpotensi melemahkan sistem perdagangan global sedia ada.
Malaysia selaku Pengerusi ASEAN, berperanan bukan sahaja dalam meraih sokongan serantau untuk menangani tarif, menyanggah kecenderungan dasar perlindungan, mengembangkan lagi perdagangan serta meneroka pasaran baharu, malahan perlu bertindak tegas meredakan konflik ketenteraan antara negara jiran Thailand dan Kemboja -- usaha yang meraih pujian di atas kepimpinan Putrajaya.
Pertemuan minggu depan dimulakan dengan Mesyuarat Pegawai-Pegawai Kanan Ekonomi pada Isnin ini dengan isu yang bakal diketengahkan termasuk pelaksanaan 18 Keberhasilan Utama Ekonomi (PED) yang menggerakkan komitmen integrasi serantau telah dipersetujui oleh negara-negara anggota sewaktu menteri-menteri bermesyuarat secara tidak rasmi di Desaru pada Februari 2025.
Salah satu PED yang berjaya disiapkan adalah deklarasi bersama Kerjasama Ekonomi ASEAN–Majlis Kerjasama Teluk (ASEAN-GCC) yang telah diterima pakai pada 27 Mei 2025 ketika pemimpin bertemu bagi mengukuhkan lagi kerjasama ekonomi.
Ini merupakan kejayaan bagi Malaysia sebagai pengerusi serta blok ASEAN secara menyeluruh kerana menjadi batu loncatan bagi memperdalam kerjasama ekonomi dengan enam negara Teluk yang kaya dengan sumber minyak selain memulakan jalinan dalam bidang kepentingan bersama, khususnya mempelbagaikan rantaian bekalan kedua-dua pihak ASEAN dan GCC.
PED lain yang menumpukan integrasi ekonomi serantau, keterangkuman, kemampanan serta perdagangan digital masih dalam proses pelaksanaan dengan tahap kemajuan berbeza -- di tahap hampir siap sepenuhnya, sebahagian telah siap dan selebihnya masih dalam proses diusahakan.
Tidak ketinggalan, tumpuan terhadap Mesyuarat Menteri-Menteri Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) dalam persiapan merangka agenda dibawa ke mesyuarat pemimpin pada Oktober nanti yang akan berlangsung bersempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-47.
Inisiatif diterajui ASEAN ini merupakan perjanjian perdagangan terbesar di dunia yang merangkumi 15 negara anggota termasuk 10 negara ASEAN serta China, Jepun, Korea Selatan, Australia dan New Zealand.
Pada Ogos lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan RCEP kekal sebagai kawasan perdagangan bebas terbesar dunia yang meliputi 30 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) global.
Beliau turut menekankan perjanjian itu “tidak harus kekal sebagai teks undang-undang semata-mata, malahan perlu dihidupkan dengan semangat politik baharu.”
Sidang Kemuncak RCEP ke-3 di Bangkok, Thailand, pada 2019 misalnya telah menegaskan kepentingan tempoh masa bagi 15 ekonomi terbabit melaksanakan langkah-langkah mengukuhkan lagi hubungan perdagangan, terutama menggembleng sumber daya memajukan potensi serantau dalam mendepani tarif AS.
Selain mesyuarat dengan rakan dialog ASEAN, negara-negara anggota juga dijadual mengadakan rundingan bersama Wakil Perdagangan AS Jamieson Greer bagi membincangkan isu-isu penting berkaitan pelaksanaan tarif oleh negara maju itu.
Ini penting dengan harapan bagi mencapai titik persefahaman dalam sektor-sektor utama seperti semikonduktor dan komoditi yang penting untuk ekonomi ASEAN.
Sejak pengumuman tarif Hari Pembebasan AS pada April lepas, kebanyakan rakan dagang AS termasuk Malaysia, telah dikenakan tarif sehingga 19 peratus yang menyamai Kemboja, Filipina, Thailand dan Indonesia.
Vietnam dikenakan kadar lebih tinggi iaitu 20 peratus dan diikuti Brunei pada 25 peratus manakala Singapura menerima kadar tarif terendah dalam kalangan negara ASEAN iaitu 10 peratus yang kekal seperti sebelumnya.
Laos dan Myanmar paling terjejas apabila dikenakan tarif sehingga 40 peratus.
Apa yang penting, ketika negara-negara anggotanya bergelut dengan impak kos negatif terhadap ekonomi, wujud keperluan bagi meneliti semula potensi ASEAN, khususnya dalam meningkatkan dagangan intra-ASEAN yang masih belum mencapai kapasiti sepenuhnya.
Jika diamati, biarpun mencatat pertumbuhan memberangsangkan dari tahun ke tahun, perdagangan intra-ASEAN sebaliknya hanya menyumbang kira-kira 22-23 peratus daripada jumlah perdagangan serantau.
Angka ini masih boleh dipertingkatkan menerusi inisiatif liberalisasi perdagangan yang lebih menyeluruh antara negara-negara anggota.
Justeru, adalah diharapkan bersandarkan kepengerusian Malaysia tahun ini dapat menjadi pemangkin kepada komitmen politik lebih jitu dalam kalangan negara anggota ASEAN dan rakan dialog untuk melonjakkan inisiatif berani ke arah mengangkat Asia Tenggara sebagai destinasi perdagangan dan pelaburan global yang lebih berdaya saing serta berpotensi tinggi.
-- BERNAMA