Malaysia Terajui AEM, Pacu Pelaksanaan Keberhasilan Utama Ekonomi ASEAN
Oleh Siti Radziah Hamzah
KUALA LUMPUR, 23 Sept (Bernama) -- ASEAN, dengan Malaysia selaku pengerusi, melangkah setapak lagi dalam usaha memperkukuh integrasi serantau menerusi penganjuran Mesyuarat Menteri-Menteri Ekonomi ASEAN ke-57 (AEM) yang berlangsung minggu ini.
Mesyuarat itu, antara lain akan memperkenalkan Keberhasilan Utama Ekonomi (PED), yang akan memacu peningkatan perdagangan, merangka kerangka ekonomi digital bernilai US$2 trilion dan memeterai pakatan baharu serantau dalam bidang persaingan, tenaga serta teknologi.
Inisiatif PED yang diterajui Malaysia itu turut menyentuh integrasi ekonomi serantau berasaskan keterangkuman, kemampanan dan perdagangan digital, dengan matlamat membentuk Komuniti Ekonomi ASEAN (AEC) yang lebih bercita-cita tinggi.
Usaha ini dijangka mengubah landskap ASEAN, dengan melonjakkan rantau ini menjadi blok ekonomi keempat terbesar dunia menjelang 2030, berbanding kedudukan kelima ketika ini.
Pencapaian ini bakal meletakkan Asia Tenggara sebagai destinasi utama perdagangan dan pelaburan global, sekali gus menarik aliran pelaburan asing dari seluruh pelosok dunia.
Malaysia, selaku pengerusi ASEAN, setakat ini berjaya memuktamadkan rundingan untuk menaik taraf Perjanjian Perdagangan Barangan ASEAN (ATIGA), dengan Protokol Kedua bagi meminda ATIGA dijadual ditandatangani pada Sidang Kemuncak ASEAN Oktober ini.
Pada masa sama, Malaysia turut memacu usaha melonjakkan perdagangan dengan China ke tahap lebih tinggi, selain memperkukuh perdagangan digital dan transaksi kewangan rentas sempadan bagi memperluas ekonomi serantau.
Selain itu, Malaysia turut menerajui usaha memuktamadkan protokol Kawasan Perdagangan Bebas ASEAN-China (ACFTA) 3.0, di samping menggerakkan rundingan Perjanjian Rangka Kerja Ekonomi Digital ASEAN (DEFA) yang kini hampir selesai dirundingkan.
DEFA dijangka menjana nilai tambahan sehingga US$2 trilion menjelang 2030, sekali gus memperkasa lebih 70 juta perusahaan kecil dan sederhana (PKS), merangkumi 98 peratus perniagaan di rantau ini, serta membuka peluang baharu dalam rantaian bekalan ASEAN.
Sementara itu, dengan gabungan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) berjumlah US$3.8 trilion, ASEAN kini merupakan ekonomi kelima terbesar dunia, mencatat pertumbuhan 4.8 peratus pada 2024, manakala 2025 dijangka berkembang 4.2 peratus meskipun berdepan ketidaktentuan global.
Disifatkan lebih daripada sekadar perjanjian ekonomi, DEFA berperanan sebagai pelan strategik untuk memastikan 680 juta penduduk ASEAN menikmati masa depan digital yang terbuka, selamat dan inklusif.
PED lain di bawah kepimpinan Malaysia adalah termasuk pemeteraian Perjanjian Rangka Kerja ASEAN mengenai Persaingan (AFAC), mengemukakan syor bagi pelan hala tuju kenderaan elektrik ASEAN serta menubuhkan Rangkaian Keselamatan AI ASEAN (AI SAFE).
Di samping itu, kalangan menteri juga meluluskan Memorandum Persefahaman Dipertingkat Grid Kuasa ASEAN (APG) di bawah Pelan Tindakan ASEAN bagi Kerjasama Tenaga 2026–2030.
Kemajuan turut dicapai dalam aspek pembayaran digital rentas sempadan, dengan lapan daripada 10 negara anggota telah melaksanakan sistem kod QR kebangsaan.
Pada 2023, pembayaran digital merangkumi hampir separuh daripada nilai transaksi di Malaysia, Indonesia, Singapura, Thailand dan Filipina, dengan jumlah dijangka meningkat secara pesat menjelang 2028.
Dalam pada itu, ASEAN turut memperkenalkan rangka kerja baharu untuk merangsang pembiayaan peralihan iklim, memperkukuh rantaian bekalan semikonduktor melalui Rangka Kerja ASEAN bagi Rantaian Bekalan Semikonduktor Bersepadu (AFISS), serta menyokong syarikat pemula teknologi menerusi inisiatif ASEAN Technology Startup Ignite.
Visi jangka panjang juga sedang dirangka, meliputi hala tuju sektor pertanian hingga 2045, pembangunan mineral sebagai hab pelaburan mampan dan prospek pelancongan hingga 2030.
Tidak ketinggalan, sebuah pusat kecemerlangan bagi perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) sedang dibangunkan, dalam membantu peralihan hijau mereka untuk mencapai pertumbuhan rendah karbon.
Kesemua inisiatif ini bukan sahaja memperkukuh PKS dan memacu pendigitalan, malah membina asas ekonomi baharu yang lebih berdaya tahan, inklusif dan bersifat masa depan.
Dalam menghadapi cabaran global, integrasi mendalam serta penyelarasan peraturan dijangka kekal menjadi benteng pertahanan ASEAN. Inisiatif ASEAN Single Window, sebagai contoh, telah menjimatkan lebih US$6.4 bilion dan mempercepat pelepasan kastam sehingga purata empat hari.
Pelan Strategik AEC 2026–2030 yang kini dimuktamadkan bakal menjadi pelan hala tuju untuk menjadikan ASEAN sebagai kuasa ekonomi keempat terbesar dunia menjelang 2030, berteraskan pertumbuhan digital, keterhubungan serantau dan pembangunan inklusif.
-- BERNAMA