Desaru Coast Jadi Pentas Global Pada Festival Ombak 2025

24/09/2025 12:00 AM

JOHOR BAHRU, 23 Sept (Bernama) -- Festival Ombak 2025, yang menampilkan ikon global, bakat ASEAN, pengalaman kulinari dan aktiviti mesra keluarga menutup tirai edisi kedua dengan persembahan hebat selama tiga hari dari 12 hingga 14 Sept di Desaru Coast, Kota Tinggi.

Pengarah Festival Ombak 2025 Karina Ridzuan berkata festival itu dianjurkan sebagai satu sambutan terhadap kreativiti, budaya dan komuniti ASEAN.

Beliau berkata festival itu menghimpunkan orang ramai dalam jumlah besar terdiri daripada peminat muzik, keluarga dan pencinta seni dari seluruh rantau, yang menikmati gabungan perayaan budaya, muzik luar biasa, gastronomi dan persembahan seni visual.

“Tenaga di atas pentas dan dalam kalangan penonton begitu mengujakan menerusi persembahan khas ulang tahun ke-40 Simply Red yang eksklusif di Asia, pratonton album baharu Joss Stone yang penuh jiwa serta persembahan bintang serantau seperti Phum Viphurit, Joe Flizzow, SonaOne dan Ismail Izzani, menjadikan acara ini benar-benar pengalaman berpaksikan ASEAN,” katanya dalam kenyataan.

Karina berkata festival itu turut menampilkan persembahan legenda daripada George Clinton and Parliament Funkadelic, Joss Stone dan Flight Facilities, selain 29 bakat terkemuka Asia Tenggara termasuk Zamaera, Diskoria, The Pinholes, Tanayu, Keyana, Kyoto Protocol dan Vanthan.

Beliau berkata pengunjung festival menikmati penginapan santai dan selesa di resort-resort Desaru Coast termasuk The Sireya Desaru Coast, Hard Rock Hotel Desaru Coast, The Westin Desaru Coast Resort dan Anantara Desaru Coast Resort & Villas.

Menurut Karina, festival itu lebih daripada sekadar sambutan hujung minggu kerana ia turut mencerminkan komitmen Desaru Coast dalam menyokong peranan Johor yang semakin berkembang sebagai hab acara budaya di Asia Tenggara, khususnya ketika Malaysia menerajui ASEAN pada 2025 serta membuat persiapan bagi Tahun Melawat Johor dan Tahun Melawat Malaysia 2026.

Beliau berkata pada masa sama ia turut mengubah Desaru Coast menjadi kanvas kreatif yang meriah, apabila pengunjung festival menyertai rentak paluan gendang bersama The Coast Drum Circle, menghayati karya moden dan kontemporari Malaysia yang dihasilkan Segaris Art Center, serta mempelajari gerak tari tradisional dalam bengkel Zapin.

“Karya artisan juga dipamerkan di bazar Pasar Seloka, bersama projek khusus seperti inisiatif kitar semula oleh Adeline Loo dan persembahan boneka berunsur pendidikan oleh SIAPA Theatre,” katanya.

Selain itu, Karina berkata pengunjung festival turut menikmati sajian daripada Sazon Tapas & Grill oleh Andrew Walsh, Carbon KL’s Smoke & Fire serta pilihan cita rasa tempatan Johor.

Beliau berkata peminat muzik meneroka koleksi piring hitam oleh Kena Sound dan sesi kasual mahjong oleh All Tiled Up, yang menambah pesona budaya tempatan dalam suasana santai.

Keluarga pula menikmati aktiviti di Zon Kanak-Kanak Ombak, yang menampilkan pilihan kegemaran ramai dan sorotan baharu seperti Go Fly Kites, Cabaran Binaan Pantas LEGOLAND, boneka gergasi setinggi 10 kaki Meera & Fiz, Mereka Games interaktif serta Funfair of Forgotten Futures yang penuh keajaiban.

“Kami bekerjasama dengan Kiddocare bagi memastikan ibu bapa mempunyai akses kepada perkhidmatan penjagaan kanak-kanak yang dipercayai sepanjang festival,” katanya.

Karina berkata selain hujung minggu penuh muzik, makanan dan seni, Festival Ombak 2025 membuktikan dirinya sebagai satu daripada perayaan budaya utama Asia Tenggara, sambil menampilkan Desaru Coast sebagai tuan rumah dinamik untuk pengalaman destinasi bertaraf perdana.

“Kami menantikan kehadiran kembali pengunjung festival bagi edisi 2026 dengan lebih banyak pengalaman yang tidak dapat dilupakan,” katanya.

-- BERNAMA