ASEAN-BAC Gesa Pelaporan Kemampanan Lebih Mudah Untuk Sokong PKS, PMKS

23/09/2025 09:03 PM

Oleh Karina Imran

KUALA LUMPUR, 23 Sept (Bernama) -- Majlis Penasihat Perniagaan ASEAN (ASEAN-BAC) menggesa pelaporan kemampanan yang lebih mudah agar ia senang diakses dan tidak membebankan terutamanya bagi perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).

Pengerusi ASEAN-BAC Malaysia Tan Sri Nazir Razak berkata langkah itu sejajar dengan tema kepengerusian ASEAN Malaysia iaitu ‘Keterangkuman dan Kemampanan’ yang menggariskan hasrat negara untuk memastikan rantau ini kekal meneruskan amalan hijau.

ASEAN Business Advisory Council (ASEAN-BAC) Malaysia Chairman Tan Sri Nazir Razak delivers the welcoming address at the ASEAN Green Shift Forum, organised by ASEAN-BAC Malaysia and Standard Chartered, at a hotel today. --fotoBERNAMA (2025) COPYRIGHT RESERVED

“Ketika kita menumpukan kepada peralihan hijau ini, jangan kita lupa kekecewaan khususnya dalam kalangan PKS dan PMKS, dari segi langkah dan peraturan yang telah disatukan.

“Dan itulah sebabnya ASEAN-BAC juga bekerjasama dengan Persatuan Akauntan Bertauliah (ACCA), antara lain, untuk membangunkan rangka kerja bagi memudahkan kemampanan untuk PMKS,” katanya menerusi ucaptama beliau pada Forum ASEAN Green Shift 2025, di sini, hari ini.

Forum itu diadakan bersempena dengan Mesyuarat Menteri-Menteri Ekonomi ASEAN ke-57 dan dianjurkan oleh ASEAN-BAC dan Standard Chartered, bersama rakan sokongan, Yinson Holdings Bhd dan Persatuan Pasaran Karbon Malaysia (MCMA).

Forum ASEAN Green Shift disertai para pegawai kanan kerajaan dan korporat, dari rantau ini untuk membincangkan usaha mempercepatkan pembiayaan hijau, tenaga bersih dan rantaian bekalan yang mampan.

Nazir berkata ASEAN-BAC telah menetapkan 12 keutamaan dan inisiatif di bawah tema "Menyatukan Pasaran untuk Kemakmuran Bersama".

Beliau berkata agenda itu bertujuan untuk menggerakkan perdagangan dan pelaburan intra-ASEAN, serta mempromosikan ASEAN sebagai identiti dan komuniti perniagaan serantau yang menjalankan perniagaan secara bertanggungjawab.

Salah satu projek utamanya ialah Pasaran Karbon ASEAN, yang diterajui oleh Yinson dan Bursa Malaysia.

Pada 2025, ASEAN-BAC menubuhkan MCMA, yang kemudiannya menandatangani perkongsian bersejarah di COP29 dengan persatuan pasaran karbon Singapura, Indonesia dan Thailand untuk bekerjasama membangunkan Rangka Kerja Karbon ASEAN selain turut menangani cabaran penawaran dan permintaan kredit karbon dan keperluan untuk saling kendali pasaran karbon negara.

Di samping persediaan dasar, ASEAN-BAC juga sedang bersiap sedia menganjurkan acara utamanya, Sidang Kemuncak Perniagaan dan Pelaburan ASEAN (ABIS), yang akan diadakan di Kuala Lumpur pada 25–26 Okt.

Sementara itu, ketua pegawai eksekutif Standard Chartered Malaysia Mak Joon Nien berkata peralihan kepada ekonomi rendah karbon adalah fokus utama bank itu, disokong oleh kepakaran antarabangsa serta jejak global merentasi 54 pasaran, termasuk kehadiran di semua 10 pasaran ASEAN.

-- BERNAMA