Persahabatan Asas Hubungan Malaysia–Timor-Leste - Anwar

Hubungan antara Malaysia dan Timor-Leste melangkaui diplomasi rasmi dan mencerminkan persahabatan yang dibina puluhan tahun dalam perjuangan bersama, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim. Pada majlis makan malam anjuran Presiden Timor-Leste Dr José Ramos-Horta dan Perdana Menteri Kay Rala Xanana Gusmão di Dili, Anwar mengimbau kembali betapa ramai sahabatnya dari wilayah itu bersama-sama mengharungi ujian dan kesusahan, tidak pernah menjangkakan bahawa satu hari nanti mereka akan duduk bersebelahan untuk merangka platform bersama bagi kerjasama dua hala yang lebih kukuh. --fotoBERNAMA (2025) HAK CIPTA TERPELIHARA
23/09/2025 09:42 PM

Daripada V.Sankara

DILI (TIMOR-LESTE), 23 Sept (Bernama) -- Hubungan antara Malaysia dan Timor-Leste melangkaui diplomasi rasmi dan mencerminkan persahabatan yang dibina puluhan tahun dalam perjuangan bersama, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Pada majlis makan malam anjuran Presiden Timor-Leste Dr José Ramos-Horta dan Perdana Menteri Kay Rala Xanana Gusmão di sini malam ini, Anwar mengimbau kembali betapa ramai sahabatnya dari wilayah itu bersama-sama mengharungi ujian dan kesusahan, tidak pernah menjangkakan bahawa satu hari nanti mereka akan duduk bersebelahan untuk merangka platform bersama bagi kerjasama dua hala yang lebih kukuh.

Perdana Menteri, yang kini dalam lawatan rasmi dua hari di sini, menyifatkan persahabatan yang utuh itu sebagai asas kepada hubungan erat antara Malaysia dan Timor-Leste hari ini.

"Semangat setiakawan, kasih sayang, dibalas dengan baik. Dan rakyat Malaysia sayangkan Timor-Leste," katanya.

Anwar berkata sokongan Malaysia terhadap Timor-Leste adalah bertunjangkan nilai bersama dalam kehormatan insan, demokrasi dan sikap saling menghormati, yang kekal sebagai inti pati kepada aspirasi kedua-dua negara.

Beliau juga menzahirkan terima kasih kepada Ramos-Horta dan kepimpinan Timor-Leste atas layanan mesra mereka yang menurutnya bukan sahaja mencerminkan hubungan diplomatik tetapi juga persaudaraan antara rakyat kedua-dua negara.

Timor-Leste bakal menyertai ASEAN secara rasmi pada Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 di Kuala Lumpur Oktober ini, satu pencapaian yang terus disokong kuat Malaysia. 

Turut hadir pada majlis malam ini Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil dan Ketua Setiausaha Kementerian Luar Negeri Datuk Seri Amran Mohamed Zin.

-- BERNAMA