ASEAN Harus Perkukuh Pasaran Modal Untuk Kekal Kompetitif - Nazir Razak
Oleh Siti Radziah Hamzah
KUALA LUMPUR, 24 Sept (Bernama) -- ASEAN harus melakukan pembaharuan struktur untuk mengukuhkan pasaran modal swasta dan menguatkuasakan peraturan terhadap halangan bukan tarif (NTB) jika ia mahu kekal berdaya saing, kata Pengerusi Majlis Penasihat Perniagaan ASEAN (ASEAN-BAC) Tan Sri Nazir Razak.
Beliau berkata mekanisme sedia ada seperti portal ASEAN Assist, tidak berkesan dalam menangani orang yang terlibat dalam amalan perdagangan tidak adil atau mengenakan halangan kepada perdagangan, kerana perniagaan terus berhati-hati untuk mengemukakan aduan kerana bimbang menjadi mangsa.
"Tiada jalan pintas. Ia harus dikuatkuasakan tetapi masalahnya sekarang...ASEAN ‘tidak ada taring’ (kuasa)," katanya ketika ditemui Bernama di luar Mesyuarat Menteri-Menteri Ekonomi ASEAN (AEM) 2025.
Nazir menggesa pembaharuan struktur bagi memastikan aduan mengenai NTB dapat diambil tindakan.
Mengenai pasaran modal, beliau berkata menurut kajian bersama oleh ASEAN-BAC dan McKinsey, pasaran swasta ASEAN kurang membangun pada 0.5 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar berbanding purata global 1.5 peratus.
Justeru, Nazir menggesa pembaharuan untuk mengkaji semula peraturan pemilikan, menambah baik exit environment (cara pelabur dapat merealisasikan keuntungan mereka atau mendapatkan semula modal yang telah dilaburkan) dan menyokong inisiatif seperti prospektus Tawaran Awam Permulaan (IPO) ASEAN.
Nazir yang juga Pengerusi Majlis Pasaran Swasta ASEAN berkata pembaharuan ini akan menjadikan pelaburan lebih cekap, meningkatkan prestasi pengurus dana, setersunya menarik lebih banyak modal dari seluruh rantau ini.
Majlis Pasaran Swasta ASEAN telah ditubuhkan di bawah inisiatif diketuai oleh ASEAN-BAC untuk menangani halangan struktur dalam pembangunan modal swasta.
Dana seperti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) Malaysia dan Temasek Singapura sering menggunakan modal di luar negara dan bukannya dalam ASEAN, beliau menggesa usaha lebih besar untuk menyalurkan simpanan serantau ke dalam pertumbuhan tempatan.
Selain itu, beliau turut menekankan kepentingan untuk mengekalkan dan menarik bakat, pada masa sama menyokong rangka kerja Entiti Perniagaan ASEAN untuk membolehkan firma bertauliah memindahkan kakitangan dan menjalankan operasi secara bebas di seluruh rantau ini.
Walaupun ASEAN menarik sebanyak US$226 bilion dalam pelaburan langsung asing tahun lepas, meningkat 9.0 peratus daripada 2023, Nazir berkata cabaran sebenar ialah daya saing. (US$1 = RM4.20), katanya.
"Isunya bukan sama ada kita mencatatkan pertumbuhan. Ia adalah sama ada kita mempunyai daya tarikan seperti yang kita boleh dibandingkan dengan kawasan lain," kata Nazir.
Mengenai jawatan pengerusi ASEAN Malaysia, beliau berkata negara telah menunjukkan kepimpinan dalam tarif, pertikaian, mengadakan pemimpin dunia, pada masa sama Sidang Kemuncak Perniagaan dan Pelaburan ASEAN Oktober depan akan menjadi acara kemuncak.
-- BERNAMA