Timor-Leste Mampu Mainkan Peranan Proaktif, Bermakna Dalam ASEAN - PM
KUALA LUMPUR, 24 Sept (Bernama) -- Malaysia yakin bahawa Timor-Leste, meskipun merupakan bakal anggota termuda, akan segera memainkan peranan yang proaktif dan bermakna dalam ASEAN, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini.
Beliau berkata Timor-Leste telah menunjukkan komitmen kukuh terhadap usaha membina keamanan, dialog, perdamaian serta akauntabiliti demokratik, nilai-nilai yang amat penting ketika ASEAN melangkah ke arah Wawasan 2045.
"ASEAN perlu mengelak daripada hanya memenuhi kehendak kerajaan dan golongan elit sebaliknya harus benar-benar berpaksikan rakyat... jika Timor-Leste terus berpegang teguh kepada prinsip dan nilai dalam tadbir urus di peringkat domestik, tiada sebab mengapa ia tidak boleh menjadi suara hati moral ASEAN," katanya pada Syarahan Presiden dan Majlis Penganugerahan Grand Collar of the Order of Timor-Leste di Dili.
Anwar berkata rantau ini berpeluang mendapat manfaat daripada pengalaman Timor-Leste dalam mengharungi perjuangan dan kesukaran, yang dapat membantu membentuk ASEAN menjadi komuniti yang lebih inklusif, adil dan berpaksikan rakyat.
Beliau juga berkata kedudukan unik Timor-Leste dalam komuniti Lusophone, yang terdiri daripada sembilan negara anggota dan 35 pemerhati bersekutu, adalah satu kelebihan kepada ASEAN untuk memperluas hubungannya dengan dunia masyarakat yang bertutur dalam Bahasa Portugis.
Anwar juga berkata penyertaan Timor-Leste dalam ASEAN akan membantu kumpulan serantau itu memperluas hubungannya dengan komuniti Lusophone dan memperkukuh silaturahim dengan Selatan Global.
Beliau berkata komuniti yang bertutur dalam Bahasa Portugis menawarkan peluang yang luas kepada ASEAN, dengan Timor-Leste telah menjadi sebahagian daripada kumpulan itu selama lebih dua dekad.
"Adalah jelas menguntungkan bagi ASEAN untuk memiliki anggota yang sudah lama menjadi sebahagian daripada komuniti Lusophone," katanya.
Perdana Menteri juga berkata Malaysia melihat Timor-Leste sebagai pemain utama dalam memperkukuh kerjasama ASEAN dengan negara-negara di kepulauan Pasifik.
Beliau berkata ASEAN dan Forum Kepulauan Pasifik telah mengambil langkah awal ke arah kerjasama yang lebih erat, dan peranan Timor-Leste boleh menghubungkan ASEAN dengan rantau Indo-Pasifik yang lebih luas.
"Saya berharap Timor-Leste akan memainkan peranan aktif dalam memajukan kerjasama ini berdasarkan kepentingan bersama," katanya.
-- BERNAMA