Menteri Ekonomi ASEAN Sepakat Sokong Keahlian Penuh Timor-Leste
Oleh Karina Imran, Ahmad Erwan Othman and Maizatul Jamny Muhammad Rosli
KUALA LUMPUR, 26 Sept (Bernama) -- Menteri-Menteri Ekonomi ASEAN secara kolektif mengesahkan semula sokongan mereka untuk keahlian penuh Timor-Leste dalam blok serantau itu, sekali gus membuka jalan kepada negara itu menjadi negara anggota ke-11 pada Sidang Kemuncak ASEAN Ke-47 bulan depan.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata sokongan daripada ASEAN itu menyerlahkan komitmen kumpulan berkenaan terhadap pertumbuhan inklusif dan integrasi serantau.
Beliau juga berkata inisiatif seumpama itu akan meningkatkan integrasi Timor-Leste ke dalam rangka kerja Komuniti Ekonomi ASEAN (AEC).
“Seterusnya, kami menantikan detik-detik bersejarah apabila Timor-Leste akan diterima sepenuhnya sebagai Negara Anggota ASEAN Ke-11 pada Sidang Kemuncak ASEAN Ke-47 pada Oktober 2025.
“Sehubungan itu, kami secara kolektif mengesahkan sokongan untuk keanggotaan Timor-Leste dalam ASEAN dan mengalu-alukan Program Pembinaan Kapasiti bagi memperkukuh kesiapsiagaan Timor-Leste untuk memenuhi tanggungjawabnya di bawah AEC,” katanya pada sidang media selepas tamatnya Mesyuarat Menteri-Menteri Ekonomi ASEAN (AEM) Ke-57 dan Mesyuarat Berkaitan selama lima hari, hari ini.
Sementara itu, Setiausaha Agung ASEAN Dr Kao Kim Hourn yang senada dengan Tengku Zafrul berkata para menteri komited untuk menyokong Timor-Leste dalam melaksanakan semua Perjanjian Ekonomi ASEAN yang berkesan melalui program pembangunan kapasiti.
Program yang bersasar ini membolehkan negara itu merealisasikan sepenuhnya manfaat yang ketara daripada integrasi ekonomi ASEAN, katanya.
Bagaimanapun, beliau berkata para menteri mengambil maklum usaha yang lebih lanjut diperlukan untuk memastikan penyertaan penuh Timor-Leste dalam semua mekanisme kerjasama ekonomi ASEAN, khususnya dalam penglibatannya dengan rakan luar ASEAN.
Permohonan Timor-Leste untuk menyertai ASEAN pertama kali dikemukakan pada 2011 dan negara itu telah diberikan status pemerhati pada 2022.
Sejak itu ASEAN telah mengguna pakai pendekatan berperingkat untuk menyokong integrasinya, termasuk penyertaan secara perintis dalam mesyuarat peringkat menteri dan inisiatif kerjasama teknikal.
Mengenai isu lain, Kao berkata AEM turut menekankan kepentingan memupuk dialog yang telus dan membina dengan sektor swasta bagi memajukan keutamaan ekonomi rantau ASEAN.
“Pada mesyuarat ini, kami juga menggalakkan pemulihan semula prosedur bagi penglibatan sektor swasta di bawah Komuniti Ekonomi ASEAN untuk mewujudkan rangka kerja kerjasama awam-swasta yang lebih kukuh, teratur dan berkesan.
“Kami juga menyeru semua badan sektoral ASEAN yang berkaitan, khususnya di bawah Komuniti Ekonomi ASEAN untuk terlibat secara aktif dengan sektor swasta bagi memastikan pandangan industri diintegrasikan sepenuhnya ke dalam proses pembangunan dasar ASEAN,” tambah beliau.
-- BERNAMA