Malaysia Harap Kemboja, Thailand Muktamad Tor Penubuhan AOT Pada Sidang Kemuncak ASEAN Di KL

Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan
27/09/2025 12:54 PM

Daripada Muhammad Faiz Baharin

NEW YORK, 26 Sept (Bernama) -- Malaysia berharap supaya Terma Rujukan (TOR) bagi penubuhan Pasukan Pemerhati ASEAN (AOT) akan dapat dimuktamadkan oleh Kemboja dan Thailand pada Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 di Kuala Lumpur pada Oktober ini.

Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan berkata Malaysia selaku Pengerusi ASEAN berharap perkara itu dapat direalisasikan bagi mengukuhkan lagi peranan AOT yang sedang dilaksanakan di sempadan kedua-dua negara berkenaan.

“Kita amat bersyukur kerana kedua-dua negara setakat hari ini masih lagi menghormati perjanjian yang telah ditandatangani di Putrajaya pada Julai tempoh hari, dan kita mahu supaya ianya dimuktamadkan sahaja.

“Seterusnya terpulanglah kepada kedua-dua negara itu untuk berunding bagi menyelesaikan masalah sempadan bersama, kerana isu sempadan ini merupakan isu bilateral dan Malaysia mengamalkan sikap ataupun pendirian tidak campur tangan tentang hal-hal dalaman kedua-dua negara, selari dengan Piagam ASEAN,” katanya.

Mohamad berkata demikian dalam sidang media di Pejabat Misi Tetap Malaysia ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di sini pada Jumaat, selepas menyertai mesyuarat empat penjuru melibatkan Amerika Syarikat (AS), Malaysia, Kemboja dan Thailand yang berlangsung di sela-sela penganjuran Perhimpunan Agung PBB di sini.

Dalam mesyuarat dipengerusikan Timbalan Setiausaha Negara AS Christopher Landau itu menyaksikan Thailand diwakili Menteri Luar Sihasak Phuangketkeow manakala Kemboja diwakili Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Luar Prak Sokhonn, dengan Malaysia yang diwakili Mohamad hadir selaku fasilitator dan koordinator.

Kemboja dan Thailand berdepan konflik berdekad-dekad lamanya berhubung wilayah di sepanjang sempadan bersama sepanjang 817 kilometer.

Pertikaian itu, yang memuncak pada 24 Julai lalu apabila kedua-dua pihak berbalas tembakan, berakhir pada 28 Julai selepas Kemboja dan Thailand mencapai persetujuan dalam mesyuarat khas yang dianjurkan Malaysia di Putrajaya.

--  BERNAMA