Sidang Kemuncak ASEAN: Lebih 13,000 Anggota PDRM, JIM Bertugas Pastikan Kelancaran Dan Keselamatan
PUTRAJAYA, 30 Sept (Bernama) -- Seramai 10,492 anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan 3,000 anggota Jabatan Imigresen (JIM) ditugaskan sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 pada Oktober ini bagi memastikan kesiapsiagaan keselamatan di tahap tinggi serta kelancaran di pintu masuk negara.
Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata buat masa ini, persiapan sidang kemuncak itu, yang dijangka dihadiri pemimpin utama dunia antaranya Presiden Amerika Syarikat Donald Trump, berlangsung dengan baik.
“Persiapan telah dibuat, saya telah diberikan taklimat oleh JIM untuk pastikan kelancaran, persiapan kita cukup rapi… ada enam modul latihan dan kita hantar anggota kita kursus di Institut Tadbiran Awam Negara,” katanya ketika berucap di perhimpunan bulanan Kementerian Dalam Negeri di sini hari ini.
Beliau berkata pihaknya menyediakan beberapa laluan di pintu masuk utama bagi memastikan kelancaran pergerakan delegasi dan pemimpin yang akan menyertai acara terbesar negara itu.
“Semua dah selesai, kita telah mengenal pasti pintu masuk laluan premier dan fast track... langkah selanjutnya adalah pastikan bahawa semua yang kita rancang atas kertas itu berjalan dengan cantik,” katanya.
Sidang Kemuncak ASEAN ke-47, yang berlangsung di Kuala Lumpur, bakal menghimpunkan pemimpin dunia termasuk dari Amerika Syarikat, China, India, Australia, Kanada, Brazil, Afrika Selatan, Jepun, Korea serta negara anggota ASEAN.
-- BERNAMA