Kepengerusian ASEAN Oleh Malaysia Pemangkin Untuk Perkongsian Jepun-ASEAN
Oleh Siti Radziah Hamzah
KUALA LUMPUR, 2 Okt (Bernama) -- Kepengerusian ASEAN oleh Malaysia pada 2025 adalah penting dalam mengukuhkan daya tahan rantaian bekalan dan mempercepatkan pelaburan industri hijau dengan Jepun, kata MUFG Bank (Malaysia) Bhd.
Pengarah Urusan dan Ketua Pasaran Global MUFG Bank untuk Malaysia Nik Azhar Abdullah berkata kepimpinan negara boleh menyediakan momentum untuk kerjasama dua hala lebih erat dengan Jepun khususnya dalam sektor pertumbuhan strategik seperti perkhidmatan digital, semikonduktor dan tenaga bersih.
"Malaysia telah meneruskan projek pemerangkapan karbon, ammonia dan bahan api penerbangan mampan dengan 21 inisiatif dibentangkan di bawah Komuniti Pelepasan Sifar Asia (AZEC). Ini sejajar dengan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) dan meletakkan negara sebagai batu loncatan untuk transformasi rendah karbon ASEAN," katanya kepada Bernama dalam temu bual baru-baru ini.
Nik Azhar berkata Jepun akan membekalkan teknologi termaju dan pelaburan dalam penyelesaian tenaga baharu muncul seperti hidrogen, bioekonomi, dan pemerangkapan karbon dengan usaha teroka seperti rantaian bekalan hidrogen H2ornbill dari Sarawak dan projek penyimpanan diterajui Petronas melibatkan penaja dari Jepun yang berperanan sebagai penanda aras awal untuk wilayah yang lebih luas.
Perkongsian sedemikian akan menjadi kritikal terhadap persekitaran makroekonomi yang kurang memberangsangkan.
MUFG mengunjurkan pertumbuhan ekonomi ASEAN menyederhana kepada sekitar 4.4 peratus pada 2025 dan 2026 apabila rangsangan eksport daripada aktiviti menambah belian lebih awal berkurangan baru-baru ini.
"Cabaran perdagangan mungkin akan meningkat tetapi dasar makro yang lebih longgar di rantau ini sepatutnya menyokong permintaan domestik. Risiko luaran utama termasuk pertumbuhan lebih perlahan di Amerika Syarikat dan China serta ketegangan geopolitik yang berlanjutan," kata Nik Azhar.
Selain kepengerusian oleh Malaysia, hubungan ASEAN-Jepun semakin bertambah baik disokong oleh peningkatan pelaburan langsung asing (FDI) Jepun.
Pada 2024, FDI Jepun melonjak 37.7 peratus kepada AS$17.5 bilion dengan aliran masuk yang kukuh ke dalam perkhidmatan kewangan, industri berkaitan kecerdasan buatan (AI) dan semikonduktor, serta peningkatan komitmen dalam logistik dan rangkaian rantaian sejuk.
Daya tarikan ASEAN sebagai destinasi China+1, bagaimanapun terjejas oleh kesesakan yang berterusan.
"Kelebihan demografi rantau ini adalah jelas tetapi kekurangan jurutera dan juruteknik peringkat pertengahan dan jurang dalam kebolehpercayaan tenaga dan infrastruktur pengangkutan memerlukan perhatian segera jika ASEAN mahu menguasai sepenuhnya gelombang pelaburan Jepun seterusnya," kata Nik Azhar.
Beliau berkata kepimpinan Jepun dalam peralihan tenaga melalui AZEC dengan lebih 120 projek kerjasama yang sedang berjalan dan penyertaan MUFG Bank dalam struktur kewangan gabungan dan peralihan sudah menjadi pemangkin penyahkarbonan serantau.
MUFG telah menyokong projek penting seperti loji geoterma Muara Laboh di Indonesia dan mengukuhkan pasaran modal swasta melalui mekanisme perkongsian risiko yang inovatif.
Nik Azhar berkata kerjasama ekonomi digital dengan Jepun juga akan menjadi pemacu pertumbuhan utama dengan pasaran ASEAN diunjurkan mencecah AS$600 bilion menjelang 2030.
Bidang seperti AI, pusat data dan tekonologi kewangan (fintech) rentas sempadan dijangka akan mendapat perhatian terutamanya apabila undang-undang kedaulatan data tempatan menarik syarikat teknologi terkemuka dan multinasional, katanya.
"Kepengerusian oleh Malaysia pada 2025 boleh menentukan hala tuju hubungan ASEAN-Jepun untuk beberapa dekad akan datang. Bukti kejayaan adalah sama ada FDI Jepun dapat menghasilkan penyepaduan rantaian bekalan yang lebih kukuh, pemindahan teknologi dan pembangunan kemahiran, membolehkan ASEAN muncul lebih berdaya tahan, inovatif dan berdaya saing di peringkat global," kata Nik Azhar.
Petunjuk utama untuk diperhatikan dalam dua hingga tiga tahun akan datang adalah tahap FDI Jepun dalam infrastruktur strategik, tahap penjajaran semula rantaian bekalan dan integrasi pengeluaran dengan ASEAN dan kualiti pemindahan teknologi serta kerjasama inovasi, katanya.
“Kesimpulannya, kemajuan sebenar akan dapat dilihat apabila rantau ini secara keseluruhannya menjadi lebih bersepadu dari segi ekonomi dan berdaya tahan dengan kedudukan mantap Jepun sebagai rakan kongsi yang amat diperlukan,” kata Nik Azhar.
-- BERNAMA