Pakistan Tegaskan Sokongan Terhadap Kepimpinan Malaysia Dalam ASEAN - PM Shehbaz
PUTRAJAYA, 6 Okt (Bernama) -- Pakistan menegaskan sokongan padu terhadap kepimpinan Malaysia dalam ASEAN, sambil menyatakan keyakinan terhadap keupayaan negara ini menerajui blok serantau itu ke arah integrasi, keamanan dan kemakmuran yang lebih mendalam.
Perdana Menteri Pakistan Muhammad Shehbaz Sharif menyampaikan jaminan itu semasa lawatan rasminya ke Malaysia dari 5 hingga 7 Okt atas jemputan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Kedua-dua pemimpin dalam kenyataan bersama hari ini turut mengalu-alukan kemajuan pelaksanaan ASEAN-Pakistan Sectoral Dialogue Partnership: Practical Cooperation Areas 2024–2028.
Shehbaz, yang tiba di sini semalam untuk lawatan rasmi selama tiga hari, turut merakamkan penghargaan mendalam dan ucapan terima kasih tulus kepada rakan sejawatnya serta kerajaan Malaysia atas sambutan mesra dan layanan penuh hormat yang diberikan kepada beliau dan delegasinya sepanjang lawatan itu.
Kedua-dua pemimpin juga menyatakan keyakinan terhadap potensi memperluas kerjasama dalam bidang pelancongan, khususnya bersempena kempen Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM2026) dan Tahun Pelancongan Perubatan Malaysia 2026 (MYMT2026).
“Malaysia telah mengalu-alukan kedatangan pelancong dari Pakistan, dan kedua-dua pemimpin bersetuju untuk mempergiat promosi pelancongan serta pertukaran budaya antara kedua-dua negara,” menurut kenyataan bersama itu.
Anwar dan Shehbaz turut mengiktiraf kepentingan hubungan antara rakyat dan mengalu-alukan sumbangan positif diaspora Pakistan di Malaysia terhadap pembangunan negara.
Kedua-dua pemimpin juga menegaskan komitmen untuk memperkukuh kerjasama dalam bidang tenaga kerja, termasuk latihan teknikal dan pembangunan kemahiran.
Lawatan Shehbaz itu merupakan kunjungan balas kepada lawatan rasmi Anwar ke Pakistan pada Oktober 2024, mencerminkan hubungan dua hala yang semakin kukuh antara kedua-dua negara.
Sejak hubungan dua hala Malaysia dan Pakistan ditingkatkan ke tahap Rakan Strategik pada Mac 2019, kedua-dua negara yang menjalin hubungan diplomatik sejak 1957 merekodkan jumlah perdagangan sebanyak RM8.07 bilion (USD1.76 bilion) pada 2024, meningkat 25.5 peratus berbanding tahun sebelumnya.
Eksport utama Malaysia ke Pakistan merangkumi minyak sawit, petroleum dan produk kimia, manakala import dari Pakistan terdiri daripada hasil pertanian, tekstil, pakaian, kasut dan produk petroleum.
-- BERNAMA