Forum ASCC Permulaan Baharu Ke Arah Realisasi Wawasan Komuniti ASEAN 2045 - Tiong
PETALING JAYA, 7 Okt (Bernama) -- Forum Peringkat Tinggi Komuniti Sosiobudaya ASEAN (ASCC) menandakan permulaan baharu dalam perjalanan kolektif kumpulan serantau itu ke arah merealisasi Wawasan Komuniti ASEAN 2045 (ACV 2045), kata Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Tiong King Sing.
Beliau berkata forum tiga hari yang bermula semalam itu berfungsi sebagai platform bagi menyelaras bidang keutamaan jangka pendek dan sederhana ASCC dengan wawasan jangka panjang kumpulan serantau itu dalam membina ASEAN yang lebih berdaya tahan, inovatif, dinamik serta berteraskan rakyat.
“Sebagai Pengerusi Majlis ASCC tahun ini, Malaysia akan memastikan bidang keutamaan komuniti ini berpaksikan kepada aspirasi ACV 2045 selaras dengan tema Kepengerusian ASEAN iaitu Keterangkuman dan Kemampanan,” katanya ketika menyampaikan ucapan alu-aluan pada majlis perasmian forum itu di sini hari ini.
Tiong berkata keutamaan ASCC telah dikelompokkan kepada lima bidang utama iaitu budaya dan warisan; kecerdasan buatan, pendigitalan serta pekerjaan hijau; kesihatan; potensi belia dan sukan; serta tindakan iklim yang menekankan tadbir urus, kerjasama dan pemilikan bersama selaras dengan matlamat kolektif ASEAN di bawah Pelan Strategik ASCC yang baharu diterima pakai.
Beliau berkata inisiatif itu termasuk usaha memperkukuh identiti ASEAN dan apresiasi terhadap budaya industri, memperkukuh kesiapsiagaan dalam mendepani kecemasan kesihatan awam, memperkasa belia melalui sukan dan inovasi selain memajukan usaha penyesuaian serta mitigasi perubahan iklim.
“Rantau ini akan terus menggesa tindakan iklim yang lebih tegas melalui pengurusan bencana, langkah mengurangkan bencana dan pembinaan ketahanan,” katanya.
Tiong juga yakin pandangan dan perspektif yang dikongsi oleh para Menteri Majlis ASCC akan memberi manfaat kepada semua peserta termasuk pegawai kerajaan, wakil sektor swasta, ahli akademik, badan pemikir, rakan dialog, pertubuhan belia, pertubuhan bukan kerajaan dan masyarakat sivil.
Beliau turut menjemput para delegasi untuk mengunjungi Bazar Seni dan Kraf ASEAN yang diadakan sempena forum tersebut yang mengetengahkan penggiat serta usahawan kraf dari negara anggota kumpulan serantau itu selain Timor-Leste.
Sementara itu, Setiausaha Agung ASEAN Dr Kao Kim Hourn berkata forum tersebut adalah satu pencapaian penting dalam usaha mempromosi nilai keterangkuman dan kemampanan di bawah Kepengerusian ASEAN oleh Malaysia.
Beliau berkata forum itu, yang diadakan bersama-sama Bazar Seni dan Kraf ASEAN, menggabungkan dialog dasar peringkat tinggi serta pameran kebudayaan akar umbi yang unik sekali gus mewujudkan platform bermakna bagi artis tempatan dan usahawan kreatif untuk berhubung serta bekerjasama dengan pembuat dasar di seluruh rantau ASEAN.
Kao juga berkata perhimpunan itu mencerminkan nilai keterangkuman bagi membolehkan para artis berhubung secara langsung dengan pembuat dasar sekali gus membuktikan bahawa kemajuan bermakna memerlukan suara dan perspektif yang pelbagai.
-- BERNAMA