Kreativiti Ng Hasilkan Beg Berasaskan Batik

Pengusaha beg batik, Ng Yak Khiang, menunjukkan koleksi beg batik keluarannya yang menampilkan pelbagai warna dan corak menarik.
08/10/2025 06:09 PM

PETALING JAYA, 8 Okt (Bernama) -- Selepas hampir lapan tahun menghasilkan beg berasaskan kanvas dan PVC, seorang usahawan Ng Yak Khiang tidak menyangka pendedahannya kepada kain batik mampu membuka lembaran baharu dalam perjalanan perniagaannya.

Minat Ng, 60, terhadap seni tempatan khususnya batik tercetus apabila beliau melihat keunikan corak dan warna batik yang dihasilkan oleh pengusaha tempatan, sekali gus menimbulkan ilham untuk menjadikan fabrik itu sebagai bahan utama dalam rekaan begnya.

“Sebelum ini, saya banyak menghasilkan produk beg berasaskan PVC dan kanvas seperti kebanyakan jenama lain, namun ketika saya menghadiri Hari Kraf Kebangsaan kira-kira 12 tahun lalu dan melihat pengusaha batik mempamerkan hasil kerja mereka, ia benar-benar membuka mata saya terhadap keindahan batik.

“Sejak itu, saya terfikir, kalau nak buat produk Malaysia, gunalah kain batik Malaysia sebab ia ada identiti dan imej tersendiri yang boleh menarik minat pelancong dari luar,” katanya kepada Bernama ketika ditemui di ASEAN Arts & Crafts Bazaar yang diadakan sempena Mesyuarat Jawatankuasa Pegawai Kanan ke-39 untuk Mesyuarat Komuniti Sosio-Budaya ASEAN (SOCA) dan Mesyuarat Majlis Komuniti Sosio-Budaya ASEAN (ASCC) ke-34, di sini, hari ini.

Ng berkata antara produk di bawah jenamanya, Finders Keepers Collection, termasuk beg galas, beg sandang, beg jinjing (tote) dan beg dokumen yang semuanya direka bentuk serta dijahit sendiri olehnya di bengkel kecil miliknya di Kota Damansara.

Beliau berkata setiap motif batik dihasilkan menggunakan teknik blok lilin, dengan proses pembuatannya dipelajari melalui YouTube selain mendapat tunjuk ajar daripada individu yang mahir dalam bidang itu sehingga beliau mampu menguasainya dalam tempoh sebulan sahaja.

“Setiap beg mengambil masa antara lima hingga enam hari untuk disiapkan bergantung kepada kerumitan rekaan manakala harga jualan bermula daripada RM100 hingga RM300 seunit,” katanya sambil menambah setiap beg turut dilapisi fabrik kalis air bagi memastikan ketahanannya dan sesuai digunakan dalam pelbagai keadaan.

Ng, yang memasarkan produknya secara dalam talian serta pada acara anjuran Kraftangan Malaysia berkata antara motif kegemarannya termasuk daun getah, daun betik serta corak tropika yang diolah dalam gaya tradisional dan moden bagi memenuhi cita rasa pelanggan pelbagai latar belakang.

Sementara itu, bagi pengusaha kraf dari Indonesia, Vita Sari, 42, penyertaannya di acara ASEAN Arts & Crafts Bazaar berkenaan menjadi peluang bermakna untuk mengetengahkan keindahan tenun rangrang dari Lombok serta memperkukuh hubungan seni serantau.

Beliau berkata keunikan tenun rangrang terletak pada coraknya yang berlubang-lubang, melambangkan falsafah keterbukaan dan cahaya dalam kehidupan masyarakat Lombok, selain menggabungkan unsur budaya Cina menerusi corak yin-yang dalam rekaannya.

“Motif ini (tenun rangrang) saya sebut sebagai campuran budaya kerana ia gabungan unsur Cina dan tempatan Indonesia, menjadikannya berbeza daripada tenunan tradisional yang lain. Tenun ini juga boleh dijadikan selendang, hiasan rumah atau pakaian,” katanya.

ASEAN Arts & Crafts Bazaar melibatkan penyertaan 12 usahawan kraf dari Malaysia dalam bidang tekstil, seramik dan hasil rimba, selain lapan usahawan kraf dari negara-negara ASEAN yang mencerminkan keindahan serta ketelitian seni tangan masyarakat serantau.

Acara yang berlangsung di Pusat Konvensyen Sunway Pyramid di sini berakhir hari ini namun akan turut diadakan di Kompleks Kraf Kuala Lumpur dari 10 hingga 20 Okt ini, bermula 10 pagi hingga 10 malam.

-- BERNAMA