Malaysia Komited Perkukuh Peranan Selaku Hab Kebudayaan, Kesenian Terkemuka ASEAN - Wan Azizah
PUTRAJAYA, 10 Okt (Bernama) -- Malaysia komited untuk memperkukuh peranannya selaku hab kebudayaan dan kesenian terkemuka di rantau ASEAN dengan memanfaatkan seni dan pertukaran kreatif sebagai medium penting untuk mempererat hubungan serantau, memupuk persefahaman antara rakyat serta merangsang pertumbuhan sosioekonomi, kata isteri Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.
Beliau berkata seni dan budaya bukan sekadar mencerminkan identiti sesebuah negara, tetapi juga instrumen diplomasi yang berkesan dalam merapatkan hubungan merentasi sempadan serta mengukuhkan kerjasama serantau yang berpanjangan.
Berucap pada ASEAN-China Art Exchange Exhibition 2025 di sini hari ini, Wan Azizah berkata pertukaran budaya yang diadakan bersempena Sidang Kemuncak ASEAN memainkan peranan penting dalam memperkukuh hubungan antara Asia Tenggara dan China.
“Menjadi pengerusi ASEAN memberi kita (Malaysia) peluang untuk membentuk masa depan Asia Tenggara yang stabil, berkembang pesat dan kaya dengan pertukaran budaya.
“Tanggungjawab ini memerlukan persefahaman yang kukuh. Marilah kita bersatu - dalam dunia perniagaan, komuniti dan institusi kebudayaan kita untuk memberikan sokongan aktif dan kerjasama yang diperlukan bagi memastikan kepimpinan Malaysia menjadi satu kejayaan besar untuk seluruh rantau ini,” katanya.
Beliau berkata menerusi pertukaran karya seni, ruang seni yang diwujudkan di luar venue persidangan mampu menjadi pemangkin bagi memupuk hubungan antarabangsa.
“Ini adalah tindakan konkrit daripada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya untuk menyokong penganjuran acara seni dan budaya antarabangsa. Jika industri pelancongan kita mahu mencapai kemajuan lebih tinggi, adalah wajar untuk memanfaatkan seni dan budaya sebagai sumber pelancongan di samping membangunkan destinasi pelancongan,” katanya.
Wan Azizah turut menekankan usaha berterusan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam membina sebuah “Malaysia Makmur” dengan mengutamakan keseimbangan antara aspek pembangunan material dan rohani.
“Hal ini selari dengan aspirasi rakyat untuk kehidupan yang lebih baik. Bagaimanapun, untuk merealisasikan visi ini, ia memerlukan lebih daripada sekadar usaha kerajaan. Ia memerlukan penyertaan dan kerjasama daripada lebih banyak pertubuhan akar umbi seperti Malaysian International Culture and Arts Promotion Association,” katanya.
Kerajaan, katanya kekal komited terhadap pembangunan menyeluruh menerusi agenda Malaysia MADANI, dengan hasrat untuk menjadikan negara ini sebagai hab serantau dalam bidang pendidikan, logistik, pelancongan dan semakin pesat dalam perkhidmatan data serta digital.
"Perdana Menteri (yang juga Menteri Kewangan) akan membentangkan Belanjawan 2026 di Parlimen petang ini. Saya ingin menegaskan bahawa komitmen kerajaan terhadap pembangunan menyeluruh tidak boleh dipertikaikan, sejajar dengan agenda Malaysia MADANI.
“Kita berhasrat untuk menjadikan Malaysia sebagai hab pendidikan serantau, hab kargo, destinasi pelancongan serta dalam beberapa tahun kebelakangan ini sebagai pusat data yang semakin menjadi tumpuan,” katanya.
Menyentuh mengenai transformasi digital yang pesat pada abad ke-21, Wan Azizah mengingatkan Malaysia supaya perlu bergerak seiring dengan kemajuan teknologi seperti kecerdasan buatan (AI) bagi mengelak daripada ketinggalan.
“AI tidak boleh diragukan lagi sebagai alat dalam bidang berasaskan sistem seperti pendidikan, perniagaan, dan pengiklanan, dengan kecekapan dan reka bentuk berasaskan data menjadi keutamaan.
“Bagaimanapun, proses penciptaan seni berlaku pada paksi yang berbeza sama sekali, iaitu berdasarkan keaslian insan. Seni, seperti lukisan, perlu mempunyai jiwa iaitu suatu elemen yang lahir daripada perasaan tulus, kerentanan dan pengalaman peribadi,” katanya.
-- BERNAMA