TPM Fadillah Pengerusikan AMEM Ke-43 Pada 16-17 Okt
KUALA LUMPUR, Oct 13 (Bernama) -- Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof, yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air akan mempengerusikan Mesyuarat Menteri-Menteri Tenaga ASEAN (AMEM) ke-43 dan mesyuarat-mesyuarat berkaitan pada 16 hingga 17 Okt 2025 di sini.
Menurut Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA), persidangan ini merupakan platform utama kerjasama tenaga di rantau ASEAN yang menghimpunkan menteri-menteri tenaga negara anggota ASEAN, wakil rakan dialog luar ASEAN, organisasi tenaga antarabangsa, institusi kewangan pelbagai hala, pemain industri dan pakar teknikal tenaga.
“Sebagai pengerusi AMEM ke-43, PETRA akan mengetengahkan usaha kerajaan Malaysia dalam mempercepat agenda peralihan tenaga negara dan serantau.
“Selaras dengan agenda Malaysia MADANI, PETRA juga berharap pelaburan dalam sektor tenaga bersih di ASEAN dan Malaysia dapat dipertingkatkan, selaras dengan aspirasi negara untuk membina ekosistem hijau yang berdaya saing pada peringkat global,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Kali terakhir Malaysia menjadi tuan rumah dan mempengerusikan mesyuarat ini ialah pada 2015.
Menurut PETRA, mesyuarat kali ini akan membincangkan pelbagai agenda strategik termasuk Pelan Tindakan Tenaga ASEAN (APAEC) 2026–2030, yang akan menjadi pelan hala tuju tenaga serantau bagi tempoh lima tahun akan datang.
“Selain itu, Memorandum Persefahaman (MoU) serantau berkaitan Grid Tenaga ASEAN (APG) dan Perjanjian Keselamatan Petroleum ASEAN (APSA) untuk memperkukuh kesalinghubungan tenaga, mempercepat peralihan tenaga rendah karbon serta meningkatkan keselamatan bekalan tenaga serantau,” katanya.
Mesyuarat itu juga akan membincangkan cadangan pelaksanaan Pembiayaan Grid Tenaga ASEAN (APGF) — inisiatif pembiayaan bersepadu dengan kerjasama Bank Pembangunan Asia (ADB) dan Bank Dunia yang bakal menyediakan kemudahan kewangan lebih US$12.5 bilion bagi membiayai kos projek sambungan grid merentas sempadan.
“Sebagai Pengerusi ASEAN 2025, Malaysia menerajui agenda tenaga serantau dengan menumpukan kepada pembangunan APG yang bukan sahaja menjamin bekalan tenaga berdaya tahan, malah penting untuk mengatasi cabaran perubahan iklim.
“Malaysia turut memberi penekanan kepada kerjasama dalam pembentukan pasaran tenaga serantau dan penetapan piawaian Sijil Tenaga Boleh Baharu (REC) ASEAN,” katanya.
Sebagai pengiktirafan terhadap kecemerlangan dalam inovasi dan kemampanan tenaga, majlis Anugerah Tenaga ASEAN 2025 akan turut diadakan pada 16 Okt 2025. Tiga kategori utama, ASEAN Coal Awards, ASEAN Energy Efficiency and Conservation Best Practices Awards dan ASEAN Renewable Energy Awards dipertandingkan bagi mengiktiraf pencapaian luar biasa dalam bidang tenaga di rantau ini.
Pada masa yang sama, Forum Perniagaan Tenaga ASEAN (AEBF) 2025 akan berlangsung serentak dengan AMEM ke-43, menjadi platform penting bagi sektor swasta termasuk pelabur, pemain industri, institusi kewangan dan pemaju tenaga untuk membincangkan peranan mereka dalam mempercepat peralihan tenaga ASEAN.
-- BERNAMA