Menteri Luar ASEAN Puji Inisiatif Damai Gaza Oleh Trump
PUTRAJAYA, 14 Okt (Bernama) -- Menteri-menteri luar ASEAN menyambut baik perjanjian yang dicapai antara Hamas dan Israel bagi pelaksanaan fasa pertama Pelan Komprehensif Menamatkan Konflik Gaza yang dikemukakan oleh Presiden Amerika Syarikat Donald J. Trump, sambil menyifatkannya sebagai langkah penting ke arah menamatkan permusuhan secara kekal di Gaza.
Dalam satu kenyataan pada Selasa, para menteri turut memuji kepimpinan berterusan dan usaha bersepadu Trump dalam menamatkan perang di Gaza.
“Kami juga menghargai peranan penting serta usaha kolektif Republik Arab Mesir, Negara Qatar dan Republik Turkiye, serta rakan-rakan lain dalam memudahkan proses rundingan dan pelaksanaan pelan komprehensif ini,” menurut kenyataan itu.
Para menteri mengakui bahawa perkembangan ini merupakan langkah penting ke arah menamatkan konflik, termasuk mencegah penderitaan berterusan, kehilangan nyawa serta pemindahan paksa penduduk.
Mereka berkata pelaksanaan pelan itu juga akan memastikan pembebasan semua tawanan dan tahanan, membolehkan pengunduran penuh tentera Israel, menyokong usaha pembinaan semula Gaza serta merealisasikan hak penentuan nasib sendiri dan penubuhan negara bagi rakyat Palestin.
“Kami menyeru semua pihak berkaitan supaya mematuhi sepenuhnya terma yang telah dipersetujui dan menggesa pelaksanaannya dijalankan dengan segera serta menyeluruh,” menurut kenyataan itu.
Menteri-menteri luar ASEAN turut menggesa masyarakat antarabangsa memanfaatkan momentum ini untuk menyambung semula proses damai berasaskan penyelesaian dua negara selaras dengan undang-undang antarabangsa serta resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) dan Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) yang berkaitan, termasuk Resolusi UNGA A/RES/ES-10/23 mengenai Kemasukan Ahli Baharu ke PBB bertarikh 10 Mei 2024.
Mereka turut menekankan keperluan untuk mencapai gencatan senjata kekal serta memastikan penghantaran bantuan kemanusiaan secara segera, tanpa halangan, selamat dan berterusan kepada semua yang memerlukan.
“Ia termasuk melalui kesinambungan dan pengukuhan peranan serta mandat Agensi Bantuan dan Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian Palestin (UNRWA), serta pelaksanaan segera usaha pembinaan semula Gaza bagi membantu memulihkan kehidupan dan melindungi maruah rakyat Palestin,” menurut kenyataan itu.
-- BERNAMA