Myanmar Rayu Bantuan ASEAN Bina Semula Sekolah, Hospital

15/10/2025 02:00 PM

Oleh Vijian Paramasivam

PHNOM PENH, 15 Okt (Bernama) -- Myanmar merayu kepada ASEAN supaya membantu usaha membina semula sekolah, pusat kesihatan dan hospital di negara itu yang musnah akibat bencana alam dalam tempoh lima tahun lalu.

“Kami memerlukan sokongan anggota ASEAN dan negara-negara lain untuk membina semula sekolah, pusat kesihatan serta hospital kami,” kata Ketua Pengarah Jabatan Pengurusan Bencana Myanmar Lai Lai Aye kepada Bernama.

Beliau membuat rayuan itu semasa menghadiri Persidangan Jawatankuasa ASEAN Mengenai Pengurusan Bencana (ACDM) ke-47 di Phnom Penh.

Beliau berkata kemudahan awam di wilayah seperti Mandalay, Sagaing, Bago dan Negeri Shan terjejas teruk akibat bencana alam.

“Negara kami telah berdepan begitu banyak bencana dalam lima tahun lepas - Siklon Mocha dan setahun kemudian kami berdepan Siklon Yagi (September 2024), diikuti gempa bumi besar tahun ini. Kerajaan kami sedang giat menjalankan pelbagai usaha pemulihan, namun kami masih memerlukan sumber tambahan," katanya.

Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) menegaskan bahawa kanak-kanak terus menjadi kumpulan paling terkesan akibat bencana alam dan konflik sivil di negara itu.

Mereka mempunyai akses yang terhad kepada perkhidmatan penjagaan kesihatan dan pendidikan serta berdepan ancaman keselamatan.

Sejak 2021, sekitar 30 peratus daripada 3.5 juta penduduk yang kehilangan tempat tinggal tahun ini adalah kanak-kanak, menurut agensi antarabangsa itu.

Pusat Penyelarasan Bantuan Kemanusiaan bagi Pengurusan Bencana ASEAN (AHA Centre) melaporkan bahawa Myanmar mengalami sebanyak 87 bencana dalam tempoh lima tahun lepas, termasuk banjir, gempa bumi, tanah runtuh, ribut, kegagalan cerun dan kemalangan industri.

“Negara anggota ASEAN bertindak pantas untuk membantu Myanmar semasa bencana. Namun, kami masih dalam peringkat pemulihan dan kerajaan kami sedang berusaha memulihkan mata pencarian petani, penternak, nelayan serta perusahaan kecil dan sederhana,” kata Lai Lai Aye.

Negara Asia Tenggara itu merupakan antara negara yang paling terdedah kepada bencana di rantau ini, termasuk gempa bumi, taufan, kemarau dan banjir.

Episod duka Siklon Nargis pada 2008 yang meragut lebih 80,000 nyawa diikuti Siklon Mocha pada 2023 yang mengorbankan lebih 180,000 orang, terus menghantui negara itu.

Pada Mac tahun ini, gempa bumi kuat berukuran 7.7 magnitud melanda negara itu, mengorbankan hampir 3,700 nyawa.

-- BERNAMA