Festival Taman Kuala Lumpur 2025 Sedia Terima Pengunjung Bermula Jumaat Ini

Pengarah Jabatan Pembangunan Landskap dan Rekreasi Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Puteri Khairul Fathiah Fahimudin (tiga, kanan) bergambar semasa lawatan dan taklimat media sempena Kuala Lumpur Park Festival 2025 di Taman Tasik Titiwangsa, hari ini. Turut kelihatan Timbalan Pengarah Kanan Jabatan Pembangunan Landskap dan Rekreasi DBKL, Norazam Mohamed Nor (tiga, kiri). --fotoBERNAMA (2025) HAK CIPTA TERPELIHARA
15/10/2025 07:43 PM

KUALA LUMPUR, 15 Okt (Bernama) -- Persiapan Festival Taman Kuala Lumpur 2025 (KLPF) di Taman Tasik Titiwangsa di sini, lancar dengan kemajuan keseluruhan 95 peratus, sekali gus bersedia menerima pengunjung dari 17 hingga 26 Okt.

Arkitek Landskap Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) Muhammad Aiman ​​Abdul Hakim berkata festival kali ini lebih istimewa memandangkan ibu kota bakal menjadi tumpuan dunia sempena Sidang Kemuncak ASEAN 2025.

Menyasarkan kehadiran 250,000 pengunjung sepanjang 10 hari penganjuran, festival itu melibatkan 12 komponen iaitu Laman Warisan Malaysia, Pertandingan Balkoni KL, Kesenian Arca Alam, Mistikal Titiwangsa, Laman Kediaman, Irama Kehidupan, Bazar Pasaran ASEAN (Market Place), Laman Arca ASEAN, Aktiviti Kembara dan Lasak, Ekspresi Belia, Laman Komuniti serta Cetusan Alam.

“Festival dibuka kepada orang ramai bermula Jumaat ini, secara percuma. Tempat letak kenderaan percuma disediakan di sekitar taman tasik, selain turut disediakan perkhidmatan ulang-alik untuk pengunjung ke lokasi acara,” katanya kepada pemberita selepas lawatan dan taklimat media KLPF 2025 di sini hari ini.

Sebelum ini, Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Seri Dr Maimunah Mohd Sharif berkata KLPF 2025 mengetengahkan tema “ASEAN: Perpaduan dalam Kepelbagaian” dengan empat teras iaitu Kehidupan Lestari, Ekspresi Budaya, Penyertaan Komuniti dan Inovasi Berasaskan Alam.

Dibuka dari 9 pagi hingga 11 malam, Maimunah berkata antara yang bakal mencuri tumpuan ialah bazar Pasaran ASEAN dengan lebih 100 gerai makanan halal, tumbuh-tumbuhan, seni dan kraf.

Selain itu, aktiviti luar seperti glamping, sukan air, e-sukan dan permainan tradisional serta sesi perkongsian ilmu bersama-sama pakar terkemuka tempatan dan antarabangsa turut diadakan bagi mempelbagaikan pengalaman pengunjung.

Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh melayari laman web https://www.klparkfestival.com atau di Instagram: @klparkfestival, dan Facebook: KL Park Festival. 

-- BERNAMA