ASEAN Berpotensi Jadi Hab Serantau Pengeluaran Bahan Api Penerbangan Mampan
Oleh Fatin Umairah Abdul Hamid
KUALA LUMPUR, 16 Okt (Bernama) -- ASEAN berpotensi menjadi hab serantau bagi pengeluaran dan permintaan bahan api penerbangan mampan (SAF) sekiranya blok itu menggubal dasar untuk memacu penerimagunaan dan pelaburannya.
Naib presiden pembangunan perniagaan produk ditapis dan biofuel Argus Media, Alvin Chew berkata konsep sesebuah hab merujuk bukan hanya kepada pengeluaran tetapi juga permintaan.
"Sekiranya dasar itu dilaksanakan, ASEAN juga boleh menjadi hab permintaan SAF," katanya semasa perbincangan panel bertajuk "Merintis Jalan bagi ASEAN Menjadi Hab Global Bahan Api Penerbangan Mampan" di luar Forum Perniagaan Tenaga ASEAN (AEBF) 2025, di sini, hari ini.
Chew berkata mandat dasar yang jelas penting untuk memacu penerimagunaan dan pelaburan SAF.
Beliau memberi contoh model di Eropah, yang mana syarikat penerbangan berdepan denda sekiranya gagal memenuhi keperluan penggunaan SAF, seperti membayar dua kali ganda perbezaan harga antara bahan api jet konvensional dan SAF.
“Dengan mandat yang jelas, pemain industri akan dapat merancang pembelian jangka panjang dan mendapatkan pembiayaan daripada bank dan pelabur, memberikan mereka keyakinan untuk membiayai projek SAF dan membantu ASEAN mempercepatkan peralihannya ke arah penerbangan mampan,” katanya.
Sementara itu, pengasas dan ketua pegawai kemampanan Asia Sustainable Aviation Fuel Association (ASAFA), Gabriel Ho berkata cabaran terbesar untuk meningkatkan pengeluaran SAF di rantau ini adalah kos yang tinggi dan bekalan terhad bahan mentah biojisim, yang turut mendapat permintaan daripada sektor lain.
Ho berkata menggalakkan pemain baharu untuk memasuki pasaran dan memberi insentif kepada pengeluaran bahan mentah akan membantu menangani kos.
“Walaupun harga minyak mentah mungkin meningkat dari semasa ke semasa, bahan mentah biojisim kekal sebagai sumber sisa kos rendah yang boleh menyokong daya maju jangka panjang pembangunan SAF di rantau ini,” katanya.
-- BERNAMA