SME Venture@ASEAN 2025 Catat Potensi Jualan RM520 Juta, Kukuhkan Peranan Malaysia
KUALA LUMPUR, 18 Okt (Bernama) -- SME Venture@ASEAN 2025, anjuran SME Corporation Malaysia (SME Corp) yang melabuhkan tirainya hari ini berjaya mencatat potensi jualan bernilai RM520 juta, hasil daripada 424 sesi padanan perniagaan.
Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud berkata kejayaan acara itu membuktikan keupayaan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) Malaysia untuk menembusi pasaran luar dan memainkan peranan penting dalam pertumbuhan ekonomi serantau.
“Sebanyak 370 pempamer daripada sektor berimpak tinggi serta produk pengguna berpeluang mempamerkan produk berinovatif dan perkhidmatan mereka. Ini termasuk 62 pempamer antarabangsa daripada negara ASEAN, Jerman, India, Jepun, Oman dan Taiwan (Republik China).
“Di samping itu, 19 PKS membentangkan potensi perniagaan mereka kepada firma ekuiti swasta, penyedia modal teroka dan platform pembiayaan ‘rakan ke rakan’ melalui sesi pembentangan dana Pitch2Go, yang memperoleh RM70 juta dalam pembiayaan dan pelaburan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis penutupan acara itu hari ini.
Diiktiraf ASEAN Records sebagai Acara Perdagangan PKS ASEAN Terbesar 2025, acara itu berlangsung selama tiga hari di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia di sini, menarik sebanyak 13,850 pengunjung dan penyertaan 364 PKS serta 60 pembeli tempatan dan antarabangsa.
Antara syarikat tempatan yang mengambil bahagian termasuk Mydin Mohamed Holdings, Aeon Co (M) Berhad dan UDA Holdings (Mari Mart dan KIRANA), manakala pembeli antarabangsa terdiri daripada syarikat seperti Autel Robotics (China), Jiuhua Century Investment Limited (Hong Kong), PLUS Exploration Co Ltd (Thailand), Karl Group Holdings Corporation (Filipina) dan Dare Company Limited (Myanmar).
Khairul Dzaimee turut memberi jaminan KUSKOP dan SME Corp kekal komited dalam memperkukuh keupayaan PKS bagi menembusi pasaran global, meningkatkan daya saing serta menjamin kemampanan jangka panjang, selaras fokus Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif SME Corp merangkap Pengerusi Penganjur SME Venture@ASEAN 2025 Rizal Nainy berkata acara bertemakan Bringing ASEAN Closer to You itu mencapai matlamatnya dalam menghubungkan usahawan, mempromosikan inovasi dan memperkukuh kerjasama intra-ASEAN.
Acara ini turut menampilkan Forum Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus dengan kerjasama Institute of Chartered Accountants in England and Wales dan Institut Akauntan Awam Bertauliah Malaysia serta Forum PKS ASEAN anjuran bersama Persatuan Pengusaha-Pengusaha Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia.
Majlis penutupan turut menyaksikan penyampaian Anugerah SME Venture@ASEAN 2025 dengan Ventura IOT Sdn Bhd dinobatkan sebagai Pemenang Anugerah PKS Cemerlang, manakala CG Global Profastex Manufacturing Sdn Bhd dan Rodrell Sdn Bhd masing-masing menerima Anugerah PKS Wanita Cemerlang dan Anugerah PKS Belia Cemerlang.
Acara itu juga disokong oleh rakan strategik termasuk Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia, Tourism Malaysia, Media Prima Omnia, Malaysia Airlines, Firefly, Pos Malaysia, TikTok Shop, Bubbles O2 serta penaja utama PERODUA dan Toshiba Tec.
-- BERNAMA