Malaysia, ASEAN Dorong Projek Boleh Dilabur Dalam Sektor Utama

24/10/2025 09:16 PM

KUALA LUMPUR, 24 Okt (Bernama) -- Malaysia akan bekerjasama erat dengan rakan kongsi ASEAN untuk memperluas projek-projek yang boleh dilabur dalam sektor utama seperti bahan api bio, penangkapan dan penyimpanan karbon, pembuatan pintar, tenaga boleh diperbaharui dan pembuatan kesihatan.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz ketika menyampaikan ucaptama penutup pada Forum Pelaburan ASEAN Ketiga (AIF 2025) menekankan bahawa rantau ini sedang menuju ke arah pelaksanaan aktif.

“Malaysia juga akan mempergiat jangkauan pelaburnya dalam pasaran yang diberi keutamaan, khususnya dalam sektor-sektor tersebut," katanya sambil menambah bahawa ASEAN terus mengambil pendekatan sebagai rantau yang terbuka, bersepadu dan tertumpu kepada pelaksanaan.

Beliau menekankan Pelan Tindakan Penggalak Pelaburan Serantau ASEAN (RIPAP), yang disokong oleh Menteri-Menteri Ekonomi ASEAN tahun lepas.

Katanya sebagai kerangka kerja serantau pertama blok itu bagi penggalak pelaburan diselaras, RIPAP menyediakan instrumen praktikal yang amat dihargai komuniti pelabur.

“Projek di bawah RIPAP menunjukkan bahawa ASEAN boleh menjana peluang yang diyakini dan membentangkannya mengikut negara masing-masing, namun secara sepadu berdasarkan prinsip utama satu wilayah bersatu,” katanya sambil menambah bahawa kesepaduan itu kekal sebagai kelebihan daya saing ASEAN dalam rantaian bekalan yang berkembang didorong oleh peralihan geopolitik dan ketegangan perdagangan.

Tengku Zafrul menggariskan tiga perkara penting yang membentuk usaha pelaburan kolektif ASEAN iaitu kesepaduan, kemudahan serta keterangkuman dan kemampanan.

“Kesepaduan akan dicapai dengan menyelaraskan usaha promosi negara dengan strategi sektor serantau, mewujudkan landskap pelaburan yang jelas dan terhubung.

“Bagi memudahkan, kami memfokuskan pada menambah baik proses kelulusan, perkhidmatan sokongan dan antara muka pelabur digital, untuk menjadikan ASEAN bukan sahaja menarik tetapi juga lebih mudah untuk melabur,” katanya.

Mengenai keterangkuman dan kemampanan, beliau berkata matlamatnya adalah untuk memastikan setiap pelaburan menyokong pembangunan kemahiran, hubungan domestik, perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PKS), perniagaan diterajui wanita dan penyahkarbonan industri.

Tengku Zafrul turut mengiktiraf peranan rakan kongsi luar, sambil menyatakan bahawa Dana Peralihan Hijau United Kingdom telah membantu memajukan RIPAP menerusi Projek Pemangkin Pelaburan Hijau ASEAN.

“Ini telah memainkan peranan penting dalam membangunkan beberapa projek boleh dilabur yang dipaparkan di sini hari ini," katanya.

Tumpuan ekonomi yang diperbaharui hadir ketika Malaysia bersedia untuk memegang Kepengerusian ASEAN.

Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan akan berlangsung dari 26 hingga 28 Okt ini di bawah Kepengerusian ASEAN Malaysia 2025 bertemakan “Keterangkuman dan Kemampanan”.

Acara itu bakal menjadi antara perhimpunan terbesar dalam sejarah blok itu yang berperanan sebagai platform penting untuk memupuk kerjasama lebih mendalam serta menangani cabaran serantau dan global secara bersepadu dan inklusif.

Lebih 30 ketua negara dan kerajaan, termasuk pemimpin ASEAN dan rakan dialog utama seperti Amerika Syarikat (AS), China, Jepun, Korea Selatan, Australia, New Zealand dan Kanada, dijangka hadir.

Ini merupakan kali kelima Malaysia memegang jawatan Pengerusi ASEAN sejak 1967, selepas 2015, 2005, 1997 dan 1977.

-- BERNAMA