PM Anwar Terima Lawatan Rasmi Presiden Brazil Dan Afrika Selatan Hari Ini

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim (dua kanan) menyambut Presiden Brazil, Luiz Inacio Lula da Silva yang sedang dalam lawatan rasmi ke Malaysia, pada sambutan rasmi di Kompleks Perdana Putra, hari ini.
25/10/2025 04:59 PM

KUALA LUMPUR, 25 Okt (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menerima dua lawatan rasmi penting daripada Presiden Brazil Luiz Inácio Lula da Silva dan Presiden Afrika Selatan Cyril Ramaphosa menjelang pembukaan rasmi Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan, esok.

Setiausaha Akhbar Kanan Perdana Menteri Tunku Nashrul Abaidah dalam Taklimat Harian Pejabat Perdana Menteri (PMO) berkata kedua-dua lawatan itu akan memperkukuh jaringan hubungan luar Malaysia di rantau Amerika Selatan dan Afrika.

Beliau berkata lawatan rasmi Lula da Silva ke Malaysia, yang pertama sejak beliau kembali memegang jawatan pada 2023, menandakan lembaran baharu dalam hubungan dua hala Malaysia–Brazil, sekali gus memperkukuh kerjasama dalam memperjuangkan keadilan ekonomi dan kemakmuran sejagat.

Presiden Brazil, Luiz Inacio Lula da Silva memeriksa barisan Batalion Pertama Rejimen Renjer Diraja (Istiadat) pada sambutan rasmi di Kompleks Perdana Putra, hari ini.

“Hubungan ini turut diperkukuh sejak Perdana Menteri menghadiri Sidang Kemuncak Pemimpin-Pemimpin BRICS di Rio de Janeiro Julai lepas apabila Malaysia terus membawa suara tegas bagi negara-negara Selatan serta memperjuangkan sistem perdagangan dan kewangan antarabangsa yang lebih adil, seimbang dan mampan,” katanya.

“Pertemuan itu juga dijangka memperkukuh komitmen kedua-dua negara dalam meneroka kerjasama baharu dalam bidang ekonomi dan teknologi, selain pertukaran pandangan mengenai isu serantau dan global berasaskan semangat kerjasama Selatan-Selatan,” katanya.

Pada sebelah petang pula, Tunku Nashrul berkata Anwar dijadualkan menerima lawatan rasmi Ramaphosa bagi memperkukuh hubungan bersejarah Malaysia–Afrika Selatan yang berasaskan nilai keadilan, solidariti dan pembangunan bersama.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim (kanan) menyambut Presiden Afrika Selatan Matamela Cyril Ramaphosa yang sedang dalam lawatan rasmi ke Malaysia, pada sambutan rasmi di Kompleks Perdana Putra, hari ini.

Beliau berkata kunjungan ini merupakan lawatan rasmi pertama beliau sejak memegang jawatan Presiden pada 2018, dan memperkukuh hubungan dua hala yang terus berkembang pesat sejak era diplomatik baharu antara kedua-dua negara pada awal 1990-an.

“Dalam pertemuan hari ini, kedua-dua pemimpin dijangka menekankan kepentingan memperkukuh kerjasama dalam bidang perdagangan, pelaburan, industri halal, pertahanan, serta sains dan inovasi termasuk bidang bioteknologi, digitalisasi dan pembangunan kemahiran.

“Malaysia turut mengiktiraf Afrika Selatan sebagai rakan dagang terbesar di benua Afrika dan berhasrat memperluas pasaran eksport minyak sawit serta memperkukuh penyertaan sektor swasta dalam bidang tenaga, pertanian dan pembuatan bernilai tinggi.

Presiden Afrika Selatan Matamela Cyril Ramaphosa memeriksa barisan Batalion Pertama Rejimen Renjer Diraja (Istiadat) pada sambutan rasmi di Kompleks Perdana Putra, hari ini.

“Kedua-dua pemimpin juga menzahirkan sokongan tidak berbelah bahagi terhadap perjuangan rakyat Palestin dan Malaysia menyatakan penghargaan tingginya terhadap kepimpinan Afrika Selatan dalam membawa isu kemanusiaan ini ke Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ),” katanya.

Sehubungan dengan itu, Tunku Nashrul berkata dua lawatan rasmi berkenaan menandakan permulaan kepada minggu diplomasi terbesar Malaysia tahun ini, yang memperlihatkan keyakinan dunia terhadap kepimpinan Perdana Menteri serta kredibiliti Malaysia sebagai negara yang berprinsip, progresif dan dihormati pada peringkat antarabangsa.

“Lawatan rasmi hari ini dari Brazil dan Afrika Selatan bukan sekadar agenda protokol, tetapi melambangkan kekuatan jaringan hubungan luar Malaysia yang seimbang di rantau utama dunia,” katanya.

Beliau berkata lawatan rasmi itu juga menjadi asas kukuh kepada dasar luar Malaysia yang berpaksikan nilai kemanusiaan, perdagangan adil dan kerjasama Selatan–Selatan.

Sementara itu, Tunku Nashrul berkata Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan kali ini bukan sekadar menutup tirai setahun kepengerusian Malaysia, sebaliknya menjadi simbol kepada peranan aktif negara dalam membentuk masa depan ASEAN yang lebih inklusif, berdaya tahan dan berpaksikan rakyat.

Beliau berkata Kuala Lumpur akan menjadi pusat tumpuan diplomasi antarabangsa yang menghimpunkan pemimpin ASEAN bersama-sama rakan dialog utama seperti Amerika Syarikat, China, Jepun, Australia dan Republik Korea, selain tetamu Pengerusi, iaitu Brazil, Afrika Selatan, Kanada dan Kesatuan Eropah serta beberapa organisasi antarabangsa lain.

“Insya-Allah, Malaysia akan melangkah dengan penuh keyakinan dalam menerajui Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 kali ini,” katanya.

-- BERNAMA