Tan Lee Bee Teruja Jadi Jurubahasa Isyarat Untuk Sidang Kemuncak ASEAN Ke-47
Oleh Ahmad Erwan Othman
KUALA LUMPUR, 25 Okt (Bernama) -- Setiap gerak tangan dan mimik wajah menjadi bahasa yang diterjemahkan tanpa suara oleh Tan Lee Bee, jurubahasa isyarat terkenal negara, yang bakal mencipta sejarah tersendiri di pentas Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.
Tan, 64, yang sinonim dengan siaran berita di kaca televisyen dengan mimik muka yang ekspresif, kali ini diberi kepercayaan menjadi jurubahasa rasmi di pentas diplomasi tertinggi rantau ini, peluang yang bagi beliau satu penghormatan dalam karier 45 tahun sebagai jurubahasa isyarat.
“Saya akan bertugas semasa majlis pembukaan (26 Okt) dan penutupan (28 Okt) sidang kemuncak itu dan pastinya membuatkan saya berasa teruja.
“Dalam 45 tahun sebagai jurubahasa isyarat, inilah kali pertama saya berkhidmat untuk program yang dihadiri ketua-ketua negara berpengaruh dari seluruh dunia … satu pengalaman yang luar biasa,” katanya kepada Bernama hari ini.
Beliau berkata Malaysia menonjolkan keunikan tersendiri tahun ini kerana bukan sekadar menjadi tuan rumah, tetapi juga memecah tradisi sebagai negara ASEAN pertama yang mengangkat bahasa isyarat ke pentas diplomasi tertinggi.
Tan berkata inisiatif itu diperkenalkan semasa Mesyuarat Menteri Luar ASEAN (AMM) Julai lepas dan mendapat pujian meluas daripada delegasi luar yang menganggap langkah berkenaan sebagai simbol komitmen Malaysia terhadap prinsip “Keterangkuman dan Kemampanan”, selari dengan tema Kepengerusian ASEAN oleh Malaysia tahun ini.
Bagi memastikan ketepatan setiap isyarat, Tan membuat persiapan rapi termasuk meneliti rakaman ucapan pemimpin ASEAN serta menggunakan pelbagai sumber rujukan bagi menyesuaikan gaya penyampaian dengan maksud.
“Bahasa isyarat tak banyak macam kamus Oxford. Saya kena faham konteks termasuk kaji gaya ucapan-ucapan pemimpin ASEAN menerusi YouTube,” katanya yang mengakui menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) seperti ChatGPT untuk meneliti konteks dan terjemahan terbaik bagi istilah tertentu.
Perjalanan Tan dalam dunia bahasa isyarat bermula kerana kasih akan adiknya yang merupakan Orang Kurang Upaya pendengaran dan kemudiannya berkhidmat selama 17 tahun sebagai guru pendidikan khas.
Nama Tan mula dikenali ramai apabila muncul dalam rancangan Selamat Pagi Malaysia pada 1985, sebelum menjadi wajah tetap dalam siaran berita RTM dan pelbagai program rasmi kerajaan serta turut mencipta sejarah sebagai jurubahasa isyarat pertama di Mahkamah Persekutuan Malaysia pada 1994.
-- BERNAMA
