Kehadiran Trump Di Sidang Kemuncak ASEAN Ke-47: Ujian Kuasa Dan Peluang Ekonomi - Pakar

Donald Trump (Foto: Bernd von Jutrczenka/dpa)
25/10/2025 10:28 AM

Oleh Samantha Tan

KUALA LUMPUR, 25 Okt (Bernama) -- Kehadiran Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump di Malaysia bagi menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dilihat sebagai ujian penting terhadap usaha Washington memulihkan pengaruhnya di rantau yang menyaksikan dominasi China sepanjang sedekad lalu.

Penganalisis politik Profesor Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani berkata kunjungan Trump adalah langkah untuk membawa Amerika kembali aktif ke dalam arena ekonomi dan keselamatan di rantau ini.

"Trump melihat ASEAN bukan sahaja dari sudut politik tetapi juga sebagai pasaran yang kaya dengan potensi perniagaan dan sumber asli. AS berhasrat menyeimbangkan dominasi China," katanya kepada Bernama hari ini.

Beliau berkata AS telah lama mengenakan tarif tinggi ke atas beberapa eksport ASEAN termasuk dari Malaysia, yang menjadikan perdagangan kurang menarik.

"Tanggapan awal Amerika Syarikat ditunjukkan melalui tarif yang menyukarkan urusan perniagaan. Jika Washington berhasrat menjalin hubungan yang lebih erat, ia seharusnya bermula dengan menyemak semula tarif tersebut," katanya.

Mohd Azizuddin, yang juga Naib Canselor (Akademik dan Hal Ehwal Antarabangsa) Universiti Utara Malaysia, berkata terdapat ruang untuk membuka semula atau merundingkan tarif dengan setiap negara anggota ASEAN termasuk Malaysia, yang menjadi Pengerusi ASEAN tahun ini.

Beliau berkata sidang kemuncak itu juga menjadi platform yang lebih luas bagi AS untuk mengadakan perbincangan dengan pelbagai rakan kongsi mengenai perdagangan dan isu strategik.

Mohd Azizuddin berkata AS turut berminat dengan kekayaan semula jadi Asia Tenggara termasuk nikel, litium dan unsur nadir bumi (REE), yang penting dalam industri kenderaan elektrik serta semikonduktor.

"Saya percaya Amerika Syarikat melihat potensi sumber asli kita, bukan sahaja REE tetapi juga minyak dan lain-lain. Justeru, setiap kali mengunjungi sesebuah rantau, beliau mencari potensi perniagaan yang lebih besar untuk negaranya. 

"Secara keseluruhan, saya berpendapat Asia Tenggara merupakan sebuah rantau yang sangat dinamik dan strategik kerana rantau ini dianggap sebagai pasaran kelima terbesar di dunia.

"Segala yang berlaku di rantau ini berpotensi mendorong ekonomi global ke arah kemelesetan atau menimbulkan masalah kerana dinamik perniagaan, perdagangan dan laluan lautnya yang semuanya melalui kawasan ini. Itulah sebabnya Trump sanggup hadir iaitu bagi memastikan AS masih berpengaruh di sini dan semua negara boleh menjadi rakan kongsinya," kata beliau.

Beliau berkata dasar Malaysia adalah jelas iaitu mewajibkan pelabur asing membina kilang dan mewujudkan peluang pekerjaan untuk penduduk tempatan, bukannya sekadar mengekstrak bahan mentah yang menjadikan negara ini lebih menarik kepada syarikat-syarikat AS yang mencari persekitaran stabil dan terkawal.

Meskipun AS mungkin membangkitkan isu Laut China Selatan, Mohd Azizuddin berkata negara anggota ASEAN lebih mengutamakan kerjasama ekonomi berbanding unjuk kekuatan ketenteraan.

"Apa yang ASEAN perlukan ialah keamanan daripada aspek ekonomi, bukannya lebih banyak rondaan," katanya.

Beliau berkata AS juga boleh memainkan peranan dalam membantu menyelesaikan krisis di Myanmar yang telah menjejaskan perpaduan dan sumber ASEAN.

Mohd Azizuddin juga berkata rakyat Malaysia melihat kehadiran Trump dengan perasaan bercampur-baur selain berwaspada dengan dasar AS mengenai Palestin namun tetap menaruh harapan terhadap peluang ekonomi baharu.

"Komuniti perniagaan mahu mengetahui tawaran yang boleh diberikan oleh Amerika (Syarikat). Suka atau tidak, AS tetap merupakan kuasa besar yang keputusannya memberi impak kepada perdagangan dunia," katanya.

Beliau merumuskan bahawa ASEAN akan mengekalkan pendekatan diplomasinya yang neutral dan seimbang serta bekerjasama dengan kedua-dua kuasa besar berdasarkan kepentingan bersama.

"Malaysia bersikap pragmatik, kita menjadi rakan kepada semua, bercakap apabila perlu dan berunding secara bijak. Begitulah caranya untuk kita mampu bertahan di antara kedua-dua gergasi," katanya.

Sidang kemuncak itu, katanya, akan mendedahkan apa yang AS sanggup tawarkan dan sejauh mana ASEAN boleh mendapat manfaat daripada kerjasama yang diperbaharui dalam bidang perdagangan, teknologi serta keselamatan.

 Trump dijadualkan tiba di Malaysia pada 26 Okt, yang juga adalah lawatan pertama beliau ke Asia selepas memegang jawatan sebagai Presiden AS buat kali kedua pada Januari 2025.

Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan, yang dipengerusikan oleh Malaysia dengan tema "Keterangkuman dan Kemampanan", akan berlangsung dari 26 hingga 28 Okt di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.

-- BERNAMA