ASEAN Perlu Bina Hubungan Baharu, Eratkan Jalinan Sedia Ada Dalam Menempuh Dasar Perlindungan - PM Anwar
Oleh Harizah Hanim Mohamed
KUALA LUMPUR, 26 Okt (Bernama) -- ASEAN perlu berani menempa kerjasama baharu dan berpandangan jauh untuk mengeratkan jalinan sedia ada dalam menempuh dasar perlindungan yang meningkat dan perubahan rantaian bekalan, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“ASEAN tidak boleh berada pada tahap yang sama,” kata Anwar, sambil menekankan bahawa daya tahan bergantung pada kemampuan untuk membuat penyesuaian.
Anwar, yang mempengerusikan Sidang Kemuncak ASEAN ke-47, berkata keamanan dan kemakmuran yang dinikmati ASEAN selama hampir enam dekad tidak kekal dengan sendirinya dan perlu diperbaharu melalui kerjasama dan diperkukuhkan melalui matlamat bersama.
“Oleh itu, ASEAN memperkukuh hubungan ekonomi, memperluas perdagangan dan meningkatkan daya saing,” kata beliau.
Mengangkat tema “Keterangkuman dan Kemampanan” dalam ASEAN, Anwar turut mengumumkan Perjanjian Perdagangan Barangan ASEAN yang dinaik taraf akan dilancarkan pada sidang kemuncak ini, yang akan mewujudkan pasaran serantau yang lebih lancar – memanfaatkan pasaran, kecekapan dan peluang untuk sektor perniagaan dan tenaga kerja.
“Kami turut memacu Grid Tenaga ASEAN (APG). Kemudahan Pembiayaan APG baharu akan membantu merapatkan jurang pembiayaan dan mempercepat peralihan kami ke arah tenaga yang lebih bersih dan terjamin,” kata beliau.
APG, inisiatif daripada usaha dua hala awal pada tahun 1970-an dan diperkenalkan pada 1997, mencatatkan pencapaian penting dengan pelancaran Inisiatif Pembiayaan APG bernilai US$10 bilion (US$ = RM4.22) pada Oktober 2025.
Anwar berkata rantau ini dalam pelaksanaan Rangka Kerja Ekonomi Biru ASEAN dan Ekosistem Kenderaan Elektrik Serantau, membina asas untuk industri mampan dan pertumbuhan hijau.
“Dengan ekonomi digital ASEAN dijangka meningkat dua kali ganda kepada US$2 trilion menjelang 2030, kami bersetuju untuk mempercepat Perjanjian Rangka Kerja Ekonomi Digital ASEAN menjelang 2026.
“Dalam memastikan teknologi kekal sebagai “servant”, bukan “master”, kami akan mewujudkan Rangkaian Keselamatan AI ASEAN — AI SAFE — untuk menerapkan etika, keselamatan dan tadbir urus yang baik dalam penggunaan kecerdasan buatan,” kata beliau.
Dalam membawa semangat hubungan erat dengan negara lain, Anwar berkata Malaysia telah menjadi tuan rumah kepada Sidang Kemuncak ASEAN-GCC ke-2 dan Sidang Kemuncak ASEAN-GCC-China awal tahun ini.
“Esok, Sidang Kemuncak Pemimpin Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau ke-5 diadakan — memacu kawasan perdagangan bebas terbesar dunia ke arah potensi penuhnya.
“Kami turut mengalu-alukan Brazil dan Afrika Selatan, Tetamu Pengerusi, ke Sidang Kemuncak Asia Timur ke-20 — langkah penting dalam memperluas kerjasama ASEAN dengan BRICS dan G20 serta memperkukuh hubungan kita dengan Selatan Global,” kata beliau.
BRICS ialah perkumpulan negara membangun utama yang telah berkembang dan terdiri daripada 10 negara anggota: Brazil, Rusia, India, China, Afrika Selatan, Mesir, Ethiopia, Indonesia, Iran dan Emiriah Arab Bersatu.
G20 atau Kumpulan 20 ialah forum antara kerajaan yang terdiri daripada 19 negara berdaulat, Kesatuan Eropah (EU) dan Kesatuan Afrika (AU).
-- BERNAMA
