ASEAN Perlu Perkukuh Perpaduan, Pertingkat Kebolehsuaian Susulan Ketidaktentuan Global - PM Anwar
KUALA LUMPUR, 26 Okt (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menyeru negara-negara anggota ASEAN agar terus memperkukuh perpaduan serta meningkatkan kebolehsuaian dan matlamat bersama dalam mendepani landskap global yang kian tidak menentu.
Beliau berkata Kepengerusian ASEAN oleh Malaysia tahun ini membawa bersamanya tanggungjawab yang besar bukan sahaja untuk memimpin blok serantau itu tetapi juga untuk memperbaharui semangat serta hala tuju ASEAN dalam dunia yang berubah dengan pantas.
“Kepimpinan bukanlah sesuatu yang bersifat rutin, ia adalah satu pilihan: untuk menentukan keutamaan, memperbaharui semangat dan tujuan ASEAN serta merintis haluan yang sepadan dengan harapan rakyat kita,” katanya semasa berucap pada majlis perasmian Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan di sini.
Turut hadir Perdana Menteri Thailand Anutin Charnvirakul, Perdana Menteri Singapura Lawrence Wong, Perdana Menteri Kemboja Hun Manet, Perdana Menteri Laos Sonexay Siphandone, Perdana Menteri Vietnam Pham Minh Chinh, Presiden Indonesia Prabowo Subianto, Presiden Filipina Ferdinand Marcos Jr, Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah dan Setiausaha Tetap Kementerian Luar Myanmar U Hau Khan Sum.
Hadir sama Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Antonio Guterres, Presiden Majlis Eropah Antonio Costa, Perdana Menteri Kanada Mark Carney, Presiden Brazil Luiz Inácio Lula da Silva, Presiden Afrika Selatan Matamela Cyril Ramaphosa, Perdana Menteri Timor-Leste Kay Rala Xanana Gusmão dan Presiden Timor-Leste José Ramos-Horta serta Naib Presiden Bank Dunia bagi Rantau Asia Timur dan Pasifik Carlos Felipe Jaramillo.
Anwar berkata tahun 2025 menghadirkan cabaran baharu kepada ASEAN apabila ketidaktentuan global terus meningkat dengan disertai dinamik geopolitik yang sentiasa berubah dan gangguan ekonomi yang menguji ketahanan serta tekad bersama rantau ini.
“Di seluruh rantau, kita menyaksikan persaingan yang semakin meningkat serta ketidaktentuan yang bertambah. Cabaran silang ini bukan sahaja menguji ekonomi kita malah turut menguji ketabahan bersama untuk berpegang pada kerjasama, untuk percaya bahawa persefahaman dan dialog masih mampu menang dalam era yang semakin terpecah,” katanya.
Perdana Menteri berkata meskipun berdepan pelbagai cabaran, kekuatan ASEAN terletak pada kepelbagaian serta komitmen berterusan terhadap rasa hormat dan pertimbangan wajar, nilai-nilai yang terus menyatukan rantau ini.
Anwar berkata Visi Komuniti ASEAN 2045, yang diterima pakai pada Mei, mencerminkan aspirasi blok serantau itu untuk memperkukuh perpaduan dan kepusatannya, mengejar pertumbuhan yang inklusif serta mampan, dan memastikan kesejahteraan generasi akan datang.
Beliau turut menyentuh mengenai penubuhan Rangkaian Keselamatan AI ASEAN (AI SAFE), satu inisiatif yang bertujuan menanamkan prinsip etika, keselamatan dan tadbir urus yang baik dalam penggunaan kecerdasan buatan di seluruh rantau.
“Teknologi seharusnya kekal sebagai pembantu kita, bukannya menjadi ketua,” katanya.
Anwar turut menekankan bahawa ASEAN perlu terus bersikap proaktif dalam mendepani perubahan ekonomi global yang dicirikan oleh peningkatan proteksionisme dan perubahan rantaian bekalan.
“Peningkatan proteksionisme dan perubahan rantaian bekalan mengingatkan kita bahawa ketahanan bergantung pada kemampuan untuk menyesuaikan diri,” katanya.
Sehubungan itu, beliau berkata ASEAN tidak boleh berdiam diri, sebaliknya perlu mengumpul keberanian untuk menjalin perkongsian baharu serta kebijaksanaan untuk memperkukuh hubungan sedia ada.
Perdana Menteri berkata Malaysia menganjurkan Sidang Kemuncak ASEAN-Majlis Kerjasama Teluk (GCC) kedua dan Sidang Kemuncak ASEAN-GCC-China pada awal tahun ini, yang menekankan pengukuhan penglibatan rantau ini dengan rakan kongsi global.
Anwar berkata usaha ASEAN untuk memperkukuh kerjasama ekonomi akan diteruskan melalui Sidang Kemuncak Pemimpin Perjanjian Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) kelima esok, dengan sasaran merealisasikan potensi penuh kawasan perdagangan bebas terbesar di dunia.
Beliau turut menyambut baik penyertaan Brazil dan Afrika Selatan sebagai Tetamu Pengerusi pada Sidang Kemuncak Asia Timur ke-20 dengan menyifatkannya sebagai langkah penting dalam memperluas penglibatan ASEAN dengan negara-negara BRICS dan G20 serta memperkukuh hubungan rantau ini dengan Selatan Global.
“Masa depan ASEAN tidak akan ditentukan oleh keadaan semata-mata. Ia akan ditentukan oleh pilihan yang kita buat hari ini,” katanya.
Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur dari 26 hingga 28 Okt ini di bawah Kepengerusian ASEAN Malaysia 2025 dengan tema "Keterangkuman dan Kemampanan".
Ia disifatkan sebagai antara sidang kemuncak terbesar dalam sejarah blok serantau itu dan berperanan sebagai platform penting untuk memperkukuh kerjasama lebih mendalam sambil menangani cabaran serantau dan global secara bersama, inklusif dan bersepadu.
Ini merupakan kali kelima Malaysia menjadi Pengerusi ASEAN sejak penubuhan blok serantau itu pada 1967 selepas menyandangnya pada 2015, 2005, 1997 dan 1977.
-- BERNAMA
