Trump Tiba Di KLCC Sempena Sidang Kemuncak ASEAN Ke-47
26/10/2025 12:35 PM
KUALA LUMPUR, 26 Okt (Bernama) -- Presiden Amerika Syarikat Donald Trump tiba di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur hari ini, bagi menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan.
Presiden AS itu dijadual menyaksikan pemeteraian KL Accord iaitu perjanjian damai penting antara Thailand dan Kemboja yang bertujuan menamatkan pertikaian sempadan dua negara selama beberapa dekad.
Trump kemudian dijangka mengadakan mesyuarat dua hala dengan Anwar sebelum menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN-AS.
Terdahulu, pesawat khas yang membawa Presiden AS, Air Force One, mendarat di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada 9.54 pagi.
-- BERNAMA
