Ketibaan Trump Di Malaysia Disambut Meriah
Oleh Zarul Effendi Razali
SEPANG, 26 Okt (Bernama) -- Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump yang memulakan lawatannya ke Malaysia hari ini bagi menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan kelihatan ceria apabila turut menari bersama kumpulan persembahan yang menyambut ketibaannya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Sebaik sahaja keluar dari pesawat Air Force One, Trump tersenyum sambil melambai kepada para pegawai dan delegasi yang berada di lapangan terbang sebelum disambut oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Diiringi alunan zapin dan rentak gendang pemimpin Amerika itu kelihatan tertawan dengan sambutan yang diberikan.
Trump turut menari seketika sekali gus menceriakan suasana sambutan sempena lawatan pertama dan bersejarah Presiden itu ke Malaysia.
Beliau kemudian mengibarkan Jalur Gemilang dan bendera Amerika Syarikat yang dipinjamnya daripada kumpulan penari, mencetuskan momentum positif sebelum meneruskan agenda di sidang kemuncak itu.
Presiden AS berkenaan tiba pada 9.54 pagi dengan pesawat Air Force One yang sebelum itu diiringi pesawat pejuang FA-18 Hornet milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).
Trump bersama Anwar kemudian menuju ke kenderaan rasmi Presiden AS yang dikenali sebagai “The Beast”.
Kereta itu dibawa khas dari AS untuk kegunaan Trump sepanjang lawatan beliau di negara ini.
Kedua-dua pemimpin kemudian berangkat ke Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) bagi menghadiri sidang kemuncak berkenaan.
Difahamkan lebih 50 kenderaan mengiringi konvoi Presiden ke ibu negara.
-- BERNAMA
