Perjanjian Perdagangan ASEAN-China 3.0 Lambang Fasa Baharu Kerjasama Serantau - PM Anwar

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim
26/10/2025 02:55 PM

Oleh Nursyabiha Sukri, Muhamad Amir Aiman Azlan & Aisha Hani Nor Azmir

KUALA LUMPUR, 26 Okt (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan Perjanjian Perdagangan Bebas ASEAN-China (ACFTA) 3.0 yang bakal dimeterai pada Selasa, sebagai pencapaian penting yang akan membuka lembaran baharu dalam kerjasama strategik ASEAN dengan China serta memperkukuh daya tahan ekonomi serantau secara kolektif.

Berucap pada Sesi Pleno Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Majlis Penyerahan Protokol Kedua untuk Meminda Perjanjian Perdagangan Barangan ASEAN (ATIGA), Anwar menegaskan bahawa kerjasama ekonomi ASEAN-China yang kukuh mencerminkan komitmen bersama blok 11 negara anggota itu terhadap keterangkuman dan kemampanan.

“Bagi memperkukuh asas ekonomi kita, kita menjalankan perdagangan lebih banyak antara kita, melabur lebih banyak antara satu sama lain dan memacu integrasi merentasi sektor.

“Perjanjian Perdagangan Barangan ASEAN (ATIGA) yang dipertingkatkan merupakan langkah penting ke hadapan,” kata beliau.

Perdana Menteri berkata pemeteraian ACFTA 3.0 pada 28 Oktober akan melambangkan lembaran baharu dalam kerjasama rantau ini, menunjukkan komitmen bersama terhadap perdagangan yang saksama, transformasi digital dan tenaga mampan.

Turut hadir Perdana Menteri Kanada Mark Carney, Presiden Majlis Eropah Antonio Costa, Pengarah Urusan Tabung Kewangan Antarabangsa Fund Kristalina Georgieva dan ketua-ketua kerajaan negara ASEAN. 

Anwar berkata selain rangka kerja ASEAN+1, ASEAN sedang mempercepat Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP), perjanjian perdagangan bebas terbesar dunia dan Malaysia akan menjadi tuan rumah kepada Sidang Kemuncak Pemimpin RCEP ke-5 esok untuk memberi momentum baharu terhadap pelaksanaannya.

Sementara itu, beliau berkata Malaysia berpeluang mempengerusikan ASEAN pada tahun ini di bawah tema “Keterangkuman dan Kemampanan,” menyatakan ini berlangsung pada detik penting ketika rantau ini berdepan cabaran yang semakin meningkat daripada ketidaktentuan geopolitik hingga geoekonomi yang ketara.

Awal hari ini, Anwar merasmikan Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di sini, menandakan bermulanya siri mesyuarat peringkat tertinggi di bawah Kepengerusian ASEAN-Malaysia 2025.

Lebih 30 ketua negara dan kerajaan termasuk dari Amerika Syarikat, China, Jepun, Korea Selatan, Australia, New Zealand dan Kanada akan menyertai perbincangan mengenai keamanan, daya tahan ekonomi dan pertumbuhan inklusif serantau dengan tema ASEAN 2025, “Keterangkuman dan Kemampanan”.

-- BERNAMA