Brazil Tumpu Potensi Kerjasama Pengeluaran Biobahan Api Dengan ASEAN - Lula
Oleh Danni Haizal Danial Donald
KUALA LUMPUR, 26 Okt (Bernama) -- Brazil berhasrat menjalin kerjasama dengan ASEAN bagi memperkukuh pengeluaran biobahan api, sekali gus mencapai matlamat mengurangkan kebergantungan terhadap negara pengeluar tenaga lain serta mempercepat usaha penyahkarbonan, kata Presiden Luiz Inácio Lula da Silva.
Beliau berkata biobahan api merupakan penyelesaian yang kos efektif dan penggunaannya boleh mempercepatkan usaha penyahkarbonan pelbagai sektor, daripada kenderaan ringan hingga penerbangan dan pengangkutan maritim, menjadikannya komponen utama dalam peralihan tenaga bersih global.
“(Potensi) untuk memperluas (kerjasama dengan) Asia Tenggara amat besar. Bersama-sama, kita boleh mewujudkan pasaran biobahan api global berasaskan parameter kemampanan yang dibangunkan oleh Selatan Global berbanding piawaian oleh negara kaya,” katanya.
Lula berkata demikian semasa sesi Bicara Santai Pemimpin yang dikendalikan Pengerusi Majlis Penasihat Perniagaan ASEAN (ASEAN-BAC) Indonesia, Anindya Novyan Bakrie, pada Sidang Kemuncak Perniagaan dan Pelaburan ASEAN (ABIS) 2025 di Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC) di sini hari ini.
Acara itu diadakan sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan yang berlangsung mulai hari ini di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).
Dalam pada itu, Lula menyeru negara ASEAN untuk menyertai Persidangan Pihak Ke-30 (COP 30) kepada Konvensyen Rangka Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengenai Perubahan Iklim (UNFCCC) yang akan berlangsung di Belem, Brazil dari 10 hingga 21 Nov, 2025.
“Saya ingin menjemput semua negara ASEAN menghadiri COP 30. Saya berharap negara di rantau ini dapat memberi sumbangan bermakna.
“Acara ini akan menjadi detik penting bagi para pemimpin dunia dan satu seruan untuk menerima pakai deklarasi yang mengandungi saranan praktikal dan pelan hala tuju untuk kita meningkatkan pembiayaan iklim kepada US$1.3 trilion (US$1 = RM4.22),” katanya.
Beliau berkata kerjasama baharu Brazil dengan Malaysia dalam program semikonduktor yang akan memacu sektor itu menerusi kemudahan pembiayaan dan insentif cukai kepada penyelidik dari kedua-dua negara.
“Kita akan bekerjasama dalam pembangunan bahan baharu untuk cip pembuatan. Syarikat Brazil dan Malaysia juga akan bekerjasama dalam penubuhan kilang semikonduktor di selatan Brazil,” kata beliau.
Lula merupakan antara pemimpin berprofil tinggi yang menghadiri majlis perasmian sidang kemuncak itu yang disempurnakan oleh Perdana Menteri dan Pengerusi ASEAN 2025, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Hari ini menandakan hari kedua lawatan rasmi tiga hari Lula ke Malaysia bermula 25 hingga 27 Oktober. Ini merupakan lawatan rasmi pertama beliau ke negara ini sejak kembali memegang jawatan Presiden pada Januari 2023.
-- BERNAMA
