Pembangunan Kapasiti Dan Peluang Pekerjaan Antara Keutamaan Nasional Timor-Leste – PM Gusmao

Perdana Menteri Timor-Leste, Kay Rala Xanana Gusmão, pada sidang media sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), hari ini.
27/10/2025 01:25 AM

Oleh R. Vikneswaran & N. Kuvineshwaren

KUALA LUMPUR, 26 Okt (Bernama) -- Timor-Leste akan memberi tumpuan kepada penjanaan peluang pekerjaan, pembangunan kapasiti dan pembangunan ekonomi bersama selepas secara rasmi diterima sebagai anggota penuh ASEAN pada Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan di sini hari ini.

Perdana Menterinya Kay Rala Xanana Gusmao berkata negara yang mempunyai kira-kira 1.4 juta penduduk itu akan terus mengutamakan usaha pembinaan negara serta pengukuhan tadbir urus selepas melengkapkan proses keanggotaan ASEAN yang mengambil masa lebih 10 tahun.

Beliau berkata sokongan daripada negara anggota ASEAN, khususnya Malaysia, amat penting bagi memperkukuh sistem pendidikan tinggi Timor-Leste serta memperluas kapasiti dalam sektor utama seperti pertanian, pelancongan dan pembangunan teknikal.

“Dalam proses membina negara, kami boleh menganggap diri kami sebagai negara yang masih rapuh, tetapi bukan sebuah negara yang gagal. Sebab itulah, apabila kami memohon untuk menjadi sebahagian daripada ASEAN, ia bukan kerana mahu mencari manfaat, tetapi kerana realiti yang kami hadapi.

“Kami sebahagian daripada ASEAN kerana kami tidak jauh dari segi geografi rantau ini. Dengan menyertai ASEAN, suara kami kini dapat didengari dalam komuniti besar negara-negara ini. ASEAN sudah dikenali di seluruh dunia,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Gusmao menegaskan bahawa keanggotaan penuh dalam ASEAN amat penting memandangkan pengaruh blok itu yang semakin meningkat di peringkat global serta kejayaannya yang berterusan dalam pelbagai sektor, termasuk kehadiran pemimpin dunia seperti Presiden Amerika Syarikat Donald Trump dan Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu António Guterres pada sidang kemuncak yang masih berlangsung.

“Ini menunjukkan bahawa rantau ini berkembang pesat dalam bidang sosial, ekonomi, diplomatik dan teknikal. Manfaat sebenar menjadi sebahagian daripada ASEAN ialah peluang untuk berkongsi, belajar dan berkembang bersama kerana kita adalah satu keluarga, dan kami milik keluarga ini,” katanya.

Beliau turut menekankan keterbukaan negaranya terhadap pelaburan dan kerjasama, khususnya dalam bidang pertanian dan pembangunan berdaya tahan iklim, memandangkan corak cuaca yang tidak menentu menjejaskan sektor pertanian negara itu.

“Kami sebuah negara pulau dengan hanya 20 peratus tanah yang rata, jadi pertanian sememangnya mencabar. Dengan perubahan iklim, kami tidak tahu bila hujan akan turun, dan itulah cabaran yang kami hadapi.

“Sebab itu bagi kami, manfaat keanggotaan ASEAN bukan soal menerima wang. Kami datang untuk belajar, mendapatkan pengalaman dan membangunkan negara melalui pendidikan, perubahan minda serta memperkasa perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS),” katanya.

Gusmao turut memerhatikan bahawa ketegangan perdagangan yang berterusan antara Amerika Syarikat (AS) dan China memberi kesan terhad kepada Timor-Leste berikutan saiz ekonominya yang kecil dan pergantungan tinggi terhadap import berbanding negara anggota ASEAN lain.

Bagaimanapun, beliau optimis bahawa pertemuan yang dijangka berlangsung antara Presiden AS Donald Trump dan Presiden China Xi Jinping dalam beberapa hari lagi akan dapat membantu meredakan pertikaian itu.

Timor-Leste, yang memperoleh kemerdekaan pada 2002, secara rasmi diterima sebagai anggota ke-11 ASEAN selepas pemimpin rantau itu meluluskan Deklarasi Kemasukan Timor-Leste ke dalam ASEAN semasa majlis pembukaan Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan pagi tadi.

Negara itu masih bergantung kepada hasil minyak dan gas, walaupun sektor pertanian dan perkhidmatan kini semakin meningkat sumbangannya kepada pendapatan negara.

Timor-Leste mencatat Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak USD1.99 bilion pada 2024, dengan pertumbuhan 3.4 peratus, dan dijangka meningkat kepada 3.9 peratus pada 2025 berikutan inflasi yang semakin sederhana serta kestabilan fiskal yang berterusan.

-- BERNAMA