Hari Bersejarah Buat ASEAN : Perjanjian Damai KL, Keanggotaan Timor-Leste Dan Lawatan Trump Warnai Sidang Kemuncak
Oleh Karina Imran and Nursyabiha Sukri
KUALA LUMPUR, 26 Okt (Bernama) -- Sejarah pelbagai dimensi tercipta di Kuala Lumpur hari ini dengan termeterainya Perjanjian Damai KL antara Kemboja dan Thailand, kemasukan rasmi Timor-Leste sebagai anggota ASEAN ke-11, serta lawatan sulung Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump ke Malaysia sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan.
Perjanjian yang ditandatangani antara Thailand dan Kemboja di luar sidang rasmi itu merupakan langkah penting ke arah memupuk keamanan antara dua negara jiran Asia Tenggara berkenaan, dengan Trump memuji peranan penting Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam memudah cara perjanjian damai itu.
Selain menerima pujian daripada Trump, usaha Anwar mempertemukan dua pihak yang bersengketa itu turut dihargai oleh Perdana Menteri Thailand Anutin Charnvirakul dan Perdana Menteri Kemboja Hun Manet.
Hari ini juga menyaksikan detik bersejarah buat ASEAN apabila blok serantau itu berkembang buat kali pertama dalam tempoh 26 tahun, dengan kemasukan rasmi Timor-Leste sebagai anggota penuh menerusi pemeteraian Deklarasi Kemasukan Timor-Leste ke dalam ASEAN.
Pemeteraian Perjanjian Damai KL yang disaksikan oleh Anwar dan Trump turut menandakan kejayaan besar dalam diplomasi serantau ASEAN, mengukuhkan komitmen blok itu terhadap pencegahan konflik, kestabilan dan kerjasama di bawah Kepengerusian Malaysia 2025.
Sementara itu, AS dan Malaysia turut memeterai Perjanjian Perdagangan Timbal Balas AS-Malaysia, mengakhir rundingan dua hala selama berbulan-bulan.
Di bawah perjanjian itu Washington komited untuk mengekalkan kadar tarif 19 peratus terhadap barangan asal dari Malaysia serta mengenal pasti 1,711 produk Malaysia yang akan menikmati kadar tarif timbal balas sifar peratus.
Dalam perkembangan lain, Perjanjian Kawasan Perdagangan Bebas ASEAN-China (ACFTA) 3.0 dijangka ditandatangani pada Selasa ini, menggambarkan komitmen bersama 11 negara anggota ASEAN terhadap keterangkuman dan kemampanan.
Selain itu, Anwar turut menggesa agar kerjasama ASEAN dengan Jepun, India dan Majlis Eropah terus diperkukuh, sambil memaklumkan bahawa Perjanjian Perdagangan Barangan ASEAN-India (AITIGA) dijangka dimuktamadkan tahun ini.
Selain beberapa mesyuarat penting, program hari ini turut merangkumi Mesyuarat Pemimpin Komuniti Asia Sifar Pelepasan (AZEC) Ketiga serta penyerahan Protokol Kedua untuk Pindaan Perjanjian Perdagangan Barangan ASEAN (ATIGA).
Tumpuan turut terarah kepada pelancaran kejohanan bola sepak serantau baharu - Piala ASEAN FIFA - yang bakal disertai 11 negara ASEAN.
Terdahulu, Anwar merasmikan majlis pembukaan Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), menandakan permulaan sesi perbincangan peringkat tinggi selama tiga hari di bawah Kepengerusian ASEAN-Malaysia 2025.
Seramai 30 pemimpin dan pegawai tinggi dari Amerika Syarikat, China, Jepun, Korea Selatan, New Zealand, Australia dan Kanada menyertai sidang kali ini bagi membincangkan isu keamanan serantau, daya tahan ekonomi dan pertumbuhan inklusif.
-- BERNAMA
