PM New Zealand Berlepas Pulang Setelah Hadir Sidang Kemuncak ASEAN Ke-47

29/10/2025 12:04 AM

SEPANG, 28 Okt (Bernama) -- Perdana Menteri New Zealand Christopher Luxon dan isteri Amanda Luxon berlepas pulang selepas menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan di Kuala Lumpur.

Pesawat khas yang membawa Luxon berlepas dari Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 10.20 malam selepas upacara pelepasan pulang dengan hamparan permaidani merah dan kawalan kehormatan terdiri daripada 28 pegawai dan anggota Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said hadir bagi mengucapkan selamat jalan kepada pemimpin New Zealand itu dan delegasinya.

Dalam lawatan Luxon ke Malaysia, kedua-dua negara menegaskan semula komitmen bersama untuk memperkukuh kerjasama dalam sektor halal dan memuktamadkan semakan Perjanjian Perdagangan Bebas Malaysia–New Zealand (MNZFTA) menjelang akhir tahun ini.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Luxon juga menzahirkan komitmen terhadap perkara itu dalam satu pertemuan dua hala di sela-sela Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan hari ini.

New Zealand turut berikrar untuk memperkukuh penglibatan dengan ASEAN melalui Perkongsian Strategik Komprehensif (CSP) yang ditubuhkan semasa Sidang Kemuncak ASEAN-New Zealand hari ini.

-- BERNAMA