Sidang Kemuncak ASEAN Ke-47 Kukuhkan Lagi Hubungan Serantau

30/10/2025 10:17 AM

KUALA LUMPUR, 30 Okt (Bernama) -- Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan sidang-sidang berkaitan yang berlangsung di Kuala Lumpur Convention Centre (KLCC) pada 26 hingga 28 Oktober 2025 menjadi titik tolak baharu dalam pengukuhan hubungan Malaysia dengan negara-negara rakan ASEAN.

 

Di bawah kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Menteri Luar Negeri Datuk Seri Mohamad Hasan, Malaysia menampilkan kepimpinan diplomatik yang matang, sederhana dan berwawasan jauh selaras dengan tema “Keterangkuman dan Kemampanan.”

 

Buat pertama kalinya dalam sejarah ASEAN, sidang kali ini menarik perhatian dunia terhadap keupayaan Malaysia mempertahankan pendirian sederhana serta prinsip “centrality of ASEAN.”

 

Ini memperlihatkan strategi baharu dalam memperluas jaringan perdagangan dan persahabatan bukan sahaja dengan rakan tradisional di Asia Timur, tetapi juga dengan rantau Afrika dan Amerika Latin.

 

Kehadiran Presiden Brazil, Lula da Silva, dan Presiden Afrika Selatan, Cyril Ramaphosa, serta António Costa, Presiden European Council (EC), mencerminkan pendekatan diplomasi terbuka Malaysia yang menyokong peralihan dunia ke arah struktur multipolar. 

 

Dalam konteks ini, Malaysia berjaya memperkukuh imej ASEAN sebagai entiti yang mampu berinteraksi secara seimbang dengan kuasa besar dunia tanpa mengorbankan autonomi rantau sendiri.

 

Dalam Sidang Kemuncak ASEAN–Jepun ke-28, Perdana Menteri mengalu-alukan kehadiran Perdana Menteri Takaichi Sanae yang baru dilantik, dan menzahirkan penghargaan atas komitmen Jepun sebagai antara rakan ekonomi dan teknologi terpenting ASEAN. Beliau menekankan bahawa hubungan erat ASEAN–Jepun selama ini telah banyak menyumbang kepada kestabilan dan kemakmuran rantau Asia Timur melalui perdagangan, pelaburan dan pemindahan teknologi.

 

Anwar turut mengakui sumbangan Jepun dalam memperkukuh ekosistem ekonomi rantau melalui Rangka Kerjasama Strategik ASEAN–Jepun serta menzahirkan keyakinan bahawa di bawah kepimpinan Takaichi, Tokyo akan terus memperkukuh pelaburan berasaskan teknologi hijau, tenaga boleh baharu dan pembangunan sumber manusia di Asia Tenggara.

 

Kehadiran Jepun, meskipun padat dengan urusan dua hala bersama Amerika Syarikat keesokan harinya membuktikan bahawa Tokyo kekal menilai ASEAN sebagai teras utama hubungan luar Jepun.

 

Dalam Sidang Kemuncak ASEAN–China ke-28, Perdana Menteri menyambut kehadiran Premier Li Qiang dengan penuh penghargaan, menegaskan bahawa komitmen China terhadap ASEAN amat kukuh.

 

Beliau menyifatkan pelaksanaan ASEAN–China Free Trade Area (ACFTA) 3.0 Upgrade Protocol sebagai “satu kejayaan spektakular,” melambangkan kerjasama ekonomi mendalam yang terus berkembang.

 

Anwar turut menegaskan bahawa meskipun ASEAN kini mempunyai 11 ahli termasuk Timor-Leste, perbezaan pandangan bukan penghalang, sebaliknya kekuatan utama dalam membina “steady engagement that fosters trust.” 

 

Pendekatan ini memperlihatkan kebijaksanaan Malaysia sebagai pengerusi yang menyeimbangkan hubungan kuasa antara Timur dan Barat, mengekalkan kesepaduan ASEAN dalam menghadapi cabaran global.

 

Pada Sidang Kemuncak ASEAN–India ke-22, Perdana Menteri menyatakan penghargaan terhadap hubungan istimewa Malaysia–India yang berakar daripada sejarah, diaspora dan jaringan ekonomi. 

 

Beliau menekankan bahawa ASEAN–India Plan of Action 2026–2030 serta usaha memuktamadkan ASEAN–India Trade in Goods Agreement (AITIGA) tahun ini menunjukkan kemajuan nyata dalam integrasi ekonomi.

 

Anwar juga mengiktiraf Perdana Menteri Narendra Modi sebagai “rakan ASEAN dan sahabat peribadi,” memperkukuh asas kepercayaan antara kedua-dua pihak melalui hubungan yang memberi manfaat kepada Malaysia dari segi perdagangan, pelaburan dan kerjasama pendidikan yang terus meningkat.

 

Dalam Sidang Kemuncak ASEAN–AS ke-13 yang dihadiri Presiden Donald J. Trump, Perdana Menteri menegaskan bahawa hubungan ASEAN–AS telah berkembang menjadi Comprehensive Strategic Partnership yang berpotensi mencipta “zaman keemasan baharu” menerusi perdagangan dua hala mencecah AS$453 bilion.

 

Sidang ini menyaksikan pemeteraian ASEAN–US Leaders’ Joint Vision Statement yang menggariskan aspirasi bersama untuk menjadikan ASEAN dan Amerika “Stronger, Safer, and More Prosperous.” 

 

Dokumen ini menegaskan komitmen bersama terhadap undang-undang antarabangsa, khususnya UNCLOS 1982, keselamatan maritim, kebebasan pelayaran dan penerbangan, serta kerjasama dalam keselamatan siber, kesihatan awam dan bantuan kemanusiaan.

 

Anwar turut merakamkan penghargaan terhadap peranan AS dalam memudah cara Kuala Lumpur Accords antara Kemboja dan Thailand, selain menyambut baik pelan damai Gaza yang dibentangkan Presiden Trump, menggambarkan keupayaan ASEAN memposisikan diri sebagai jambatan diplomasi antara kuasa besar dan dunia Islam.

 

Dalam Sidang Kemuncak ASEAN–Korea ke-28, Anwar menzahirkan penghargaan kepada Presiden Lee Jae Myung atas hubungan kukuh yang terjalin selama tiga dekad, menyifatkan hubungan itu sebagai “model of trust, respect, and mutual benefit.”

 

Perdana Menteri menegaskan kepentingan kerjasama dalam bidang teknologi, rantaian bekalan dan pembangunan modal insan, di mana gabungan kekuatan ASEAN dan Korea mampu mencipta ekosistem pertumbuhan inklusif dan pasaran terbuka. Malaysia dilihat sebagai penghubung utama dalam memperkasa kerjasama teknologi hijau dan digital antara ASEAN dan Korea Selatan.

 

Hubungan Malaysia dengan Australia dan New Zealand turut menyerlah dalam sidang kali ini. Dalam Sidang Kemuncak ASEAN–Australia ke-5, Anwar menyatakan penghargaan kepada Perdana Menteri Anthony Albanese atas sokongan tidak berbelah bahagi terhadap kepengerusian Malaysia, sambil mengingatkan bahawa Australia ialah rakan dialog pertama ASEAN dan telah menyumbang kepada kejayaan The Regional Comprehensive Economic Partnership (RCEP) dan Comprehensive Strategic Partnership.

 

Dalam Sidang Kemuncak Peringatan ASEAN–New Zealand, Anwar menegaskan bahawa hubungan dua hala yang berusia lebih 50 tahun ini kekal sebagai “enduring partnership” yang tidak pernah menghadapi krisis serius, malah terus berkembang melalui kerjasama perdagangan, pendidikan, dan tenaga boleh baharu.

 

Turut mencuri tumpuan semasa sidang ini ialah lawatan rasmi pertama Perdana Menteri Kanada, Mark Carney, ke Malaysia dan rantau Asia sebagai sebahagian daripada kerangka Indo-Pacific Strategy. Dalam kenyataannya di Kuala Lumpur, beliau menegaskan bahawa Kanada melihat ASEAN sebagai pasaran masa depan bernilai lebih AS$5 trilion dengan hampir 700 juta pengguna.

 

Kanada dan ASEAN bersetuju untuk mempercepat rundingan Perjanjian Perdagangan Bebas ASEAN–Kanada (FTA) yang dijangka dimuktamadkan pada 2026. Perjanjian ini bakal menambah lebih AS$1.5 bilion kepada ekonomi Kanada dan membuka akses baharu kepada pasaran Asia Tenggara.

 

Malaysia menjadi tumpuan khas dalam agenda tenaga apabila kedua-dua negara menandatangani Surat Hasrat (Letter of Intent) untuk memperkukuh pelaburan dalam sektor gas asli cecair (LNG), tenaga nuklear dan tenaga boleh diperbaharui. 

 

Carney turut mengadakan pertemuan dengan Ketua Pegawai Eksekutif Petronas, menzahirkan penghargaan terhadap sumbangan Malaysia dalam projek LNG Canada di British Columbia yang kini menuju ke fasa kedua.

 

Lawatan beliau turut membuka peluang pelaburan dalam teknologi keselamatan siber, kecerdasan buatan (AI), dan penerbangan, termasuk perjanjian baharu antara Malaysia Airlines dan CAE Kanada serta perbincangan mengenai pesanan pesawat A220 buatan Quebec bersama AirAsia. 

 

Semua ini menggambarkan hubungan Malaysia–Kanada yang semakin melangkaui perdagangan konvensional, ke arah kerjasama tenaga, teknologi dan inovasi masa depan.

 

Secara keseluruhannya, Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 berjaya memperkukuh hubungan Malaysia dengan semua rakan ASEAN serta kuasa luar utama. Hasil kepimpinan teguh Anwar dan koordinasi strategik Mohamad, ASEAN kini bergerak sebagai blok yang lebih bersatu, relevan dan berpengaruh di pentas global.

-- BERNAMA

 

 

Penulis Dr Hussain Yusri Zawawi adalah Pensyarah Kanan di Pusat Pengajian Hubungan Antarabangsa, Fakulti Undang-Undang & Hubungan Antarabangsa, Universiti Sultan Zainal Abidin (UnisZA)