Malaysia Sasar Jadi Hab Teknologi Trafik ASEAN Menerusi MyARTTE 2025
KUALA LUMPUR, 30 Okt (Bernama) -- Malaysia berhasrat menjadi hab atau pusat rujukan teknologi trafik dan lebuh raya terulung di rantau ASEAN, menerusi penganjuran Malaysia ASEAN Road Traffic Technology Exhibition 2025 (MyARTTE) selama tiga hari bermula 3 Nov, di Pusat Pameran dan Dagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC).
Presiden Persatuan Syarikat-syarikat Konsesi Lebuhraya Malaysia (PSKLM) Datuk Zakaria Ahmad Zabidi berkata program sulung berskala besar itu, dijangka menarik penyertaan lebih 500 peserta industri serta lebih 5,000 pelawat dalam dan luar negara.
Beliau berkata MyARTTE yang dianjurkan sempena Kepengerusian ASEAN oleh Malaysia, akan menampilkan teknologi terkini lebuh raya, trafik pintar dan mobiliti masa depan, selain mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai pusat rujukan serta perkongsian inovasi serantau.
“Syarikat konsesi (Malaysia) kini giat memperkenalkan teknologi baharu, bagi memastikan infrastruktur dan aset lebuh raya kekal dalam keadaan terbaik dan bertaraf dunia. Ini jelas digambarkan oleh media antarabangsa ketika lawatan rasmi Presiden (Amerika Syarikat) Donald Trump sewaktu Persidangan ASEAN 2025.
“Media telah memberikan pujian terhadap kualiti dan infrstruktur lebuh raya di Malaysia. Kita mahu menjadikan Malaysia sebagai titik rujukan kepada semua pengendali lebuh raya di rantau ini, tempat untuk mengenal pasti, mengadaptasi dan berkongsi teknologi serta inovasi baharu dalam pembangunan lebuh raya pintar,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa menjadi tetamu program Ruang Bicara terbitan Bernama TV bertajuk “Mobiliti ASEAN: Inovasi Teknologi Lebuh Raya”, malam semalam.
Zakaria berkata penganjuran acara itu akan menampilkan 150 ruang pameran termasuk pempamer dari China, Korea, Taiwan, Jerman dengan teknologi seperti kecerdasan buatan (AI) dalam pengurusan trafik, bahan inovatif turapan jalan, teknologi pencahayaan pintar serta kenderaan elektrik.
Beliau berkata antara perkara dan teknologi yang akan diketengahkan semasa semasa penganjuran pameran berkenaan ialah penggunaan AI untuk pengesanan sebarang insiden kemalangan, kerosakan, kesesakan serta insiden luar jangka di lebuh raya.
“Sistem AI ini akan meningkatkan kecekapan dari sudut pengesanan, pelaporan dan arahan pelan mitigasi kepada Pusat Pengurusan Trafik dan Pasukan Ronda.
“Sistem AI ini kini sedang digunakan di lebuh raya Divisyen Tol IJM seperti Lebuhraya Sungai Besi (Besraya), Lebuhraya Pantai Baru (NPE), Lebuhraya Kajang-Seremban (LEKAS). Untuk Lebuhraya Utara Selatan (PLUS), sistem AI ini dalam peringkat sistem pengujian,” katanya.
Beliau berkata turut berkongsikan mengenai pengunaan AI pada kenderaan peronda, bagi mengesan sebarang halangan dan kerosakkan di lebuh raya dan peluasan pelan mitigasi kesesakan seperti lorong pintar pada waktu puncak.
Zakaria berharap penganjuran MyARTTE akan membuka peluang kerjasama strategik antara pemain industri tempatan dan luar negara, memperkukuh ekosistem lebuh raya pintar serta memberi manfaat langsung kepada rakyat.
“Apa yang paling penting ialah hasil daripada program ini diharap dapat memberikan manfaat langsung kepada pengguna lebuh raya, khususnya dalam aspek keselamatan, keselesaan dan kecekapan perjalanan.
“Oleh yang demikian, saya menggesa kepada semua penggiat industri, pelajar, pihak berkepentingan untuk turut sama-sama hadir ke program dan pameran sepanjang tiga hari ia berlangsung,” katanya.
-- BERNAMA
