INSP GoASEAN BizMatch Anjuran MATRADE-SME Corp Rekod Jualan Eksport RM150.37 Juta

Kredit: MATRADE
30/10/2025 03:02 PM

KUALA LUMPUR, 30 Okt (Bernama) -- Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) dengan kerjasama SME Corporation Malaysia (SME Corp Malaysia) baru-baru ini berjaya merekodkan jualan eksport sebanyak RM150.37 juta menerusi Program Penyumberan Antarabangsanya (INSP).

Program itu merupakan sebahagian daripada sesi “GoASEAN BizMatch”, yang diadakan bersempena dengan pameran SME Venture@ASEAN 2025 di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) pada 17-18 Oktober. 

Inisiatif itu menghubungkan 31 pembeli antarabangsa dari negara-negara seperti Kemboja, China, Perancis, Hong Kong, Indonesia, Itali, Mexico, Myanmar, Filipina, Taiwan, Thailand dan Vietnam dengan lebih 200 syarikat Malaysia menerusi penganjuran lebih 250 mesyuarat perniagaan.

Kredit: MATRADE

“GoASEAN BizMatch berjaya menghubungkan syarikat Malaysia dengan pembeli dan pihak berkepentingan dalam industri dari seluruh ASEAN, Asia, Eropah dan Amerika Latin, sekali gus memacu perkongsian strategik merentasi spektrum industri yang meluas.

“Sektor utama yang diwakili termasuk aeroangkasa dan dron, elektrik dan elektronik, minyak dan gas, peranti perubatan, bioteknologi, teknologi halal dan pertanian pintar, ekonomi hijau, mobiliti, gaya hidup dan sains hayat, serta makanan dan minuman,” kata MATRADE dalam satu kenyataan hari ini.

Agensi promosi perdagangan itu berkata produk dan perkhidmatan yang diperoleh ketika program itu termasuk aeroangkasa, dron dan robotik, teknologi kereta api, penyelesaian dan komponen mekanikal, peranti dan peralatan perubatan, jentera untuk pemprosesan dan pembungkusan makanan, serta kecerdasan buatan (AI) dan perkhidmatan pensijilan. 

Kredit: MATRADE

“Sebagai rakan kongsi strategik bagi komponen pemadanan perniagaan, MATRADE terus menunjukkan kepimpinan dalam memudahkan platform penyumberan berstruktur yang memberikan hasil yang ketara dan memacu pertumbuhan perdagangan merentasi pelbagai sektor, memperkasakan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) Malaysia untuk mengembangkan jejak global mereka.

“Berasaskan kejayaan ini, SME Corp Malaysia dan MATRADE akan terus mengukuhkan kerjasama mereka bagi memastikan PKS Malaysia mendapat akses berterusan ke pasaran dan peluang baharu di seluruh ASEAN dan seterusnya,” tambah MATRADE.

-- BERNAMA