Tiga Syarikat Malaysia Rangkul Anugerah SME Venture@ASEAN 2025 Buat Julung Kali
KUALA LUMPUR, 3 Nov (Bernama) -- Tiga perusahaan kecil dan sederhana (PKS) Malaysia menerima Anugerah SME Venture@ASEAN 2025 yang julung kali diadakan sebagai mengiktiraf pencapaian cemerlang mereka dalam prestasi perniagaan, inovasi dan daya saing eksport.
SME Corporation Malaysia (SME Corp) dalam kenyataan hari ini berkata anugerah itu yang menandakan berakhirnya program SME Venture@ASEAN 2025 pada 18 Oktober lepas, mengiktiraf PKS yang memperlihatkan prestasi cemerlang dan pertumbuhan eksport khususnya dalam tempoh dua tahun kebelakangan ini.
Menurutnya Ventura IOT Sdn Bhd dinobatkan sebagai pemenang Anugerah PKS Cemerlang manakala CG Global Profastex Manufacturing Sdn Bhd menerima Anugerah PKS Wanita Cemerlang dan Rodrell Sdn Bhd merangkul Anugerah PKS Belia Cemerlang.
“Ventura IOT adalah syarikat pertama di Malaysia yang mengintegrasikan Penderiaan Akustik Teragih (DAS) dengan CCTV Pintar dan sistem dron autonomi, menawarkan penyelesaian pengawasan lanjutan kepada pelanggan minyak dan gas utama termasuk Petronas, ExxonMobil dan PetroVietnam.
“Syarikat itu mencapai nilai eksport sebanyak RM10.3 juta pada 2024. Ventura IOT adalah syarikat 4 bintang di bawah Penarafan Daya Saing PKS untuk Peningkatan (SCORE), program penarafan oleh SME Corp, dan satu daripada lima penerima utama Anugerah Enterprise 50 (E50) 2024,” katanya.
Menurut kenyataan itu, CG Global Profastex Manufacturing Sdn Bhd yang beribu pejabat di Pulau Pinang, menawarkan perkhidmatan pembuatan elektronik kontrak sehenti (CEM) dan perkhidmatan pembuatan elektronik (EMS).
“Dengan 95 peratus daripada pengeluarannya dieksport ke Amerika Syarikat, United Kingdom, Australia, Perancis dan China, syarikat itu mencatat nilai eksport sebanyak RM7.7 juta. Ia turut meraih penarafan empat bintang melalui SCORE dan telah dinamakan sebagai penerima Anugerah E50 Terbaik bagi Pengeksport,” katanya.
SME Corp berkata Rodrell Sdn Bhd melalui inisiatif Komuniti Tukang Jahit (KTJ), memperkasakan golongan wanita daripada golongan B40 menerusi program jahitan dan kitar semula fabrik yang mengubah tekstil kepada produk kraftangan.
“Syarikat ini menonjolkan semangat keusahawanan sosial Malaysia dengan memupuk pemerkasaan ekonomi dan kelangsungan hidup yang mampan. Ia merekodkan perolehan jualan sebanyak RM1.3 juta pada 2024.
“Rodrell juga adalah satu daripada Syarikat Prinsipal Perniagaan Inklusif (IB) di bawah Inisiatif Pembangunan Rantaian Nilai Perniagaan Inklusif (IB-VCDI) oleh SME Corp,” menurut kenyataan itu.
SME Corp berkata syarikat berkenaan dinilai berdasarkan prestasi kewangan, keupayaan inovasi dan sumbangan mereka kepada landskap PKS Malaysia, dengan penekanan kepada pertumbuhan jualan tahunan dan eksport -- mencerminkan kepelbagaian, daya tahan dan matlamat global sektor PKS negara.
Program SME Venture@ASEAN 2025 yang berlangsung selama tiga hari, telah diiktiraf oleh ASEAN Records sebagai Acara Perdagangan PKS ASEAN Terbesar 2025, yang menarik lebih 16,000 pelawat dan menjana potensi jualan sebanyak RM520 juta melalui 424 sesi padanan perniagaan.
Acara itu membawakan 370 pempamer daripada sektor berimpak tinggi dan pengguna, termasuk 62 pempamer antarabangsa dari ASEAN dan di luarnya.
Ia turut menyalurkan pembiayaan berjumlah RM70 juta melalui sesi Pitch2Go serta menghimpunkan lebih 500 peserta dalam dua forum -- Forum ESG dan Forum PKS ASEAN 2025.
-- BERNAMA
