Kerjasama Awam-Swasta Penting Untuk Tangani Cabaran Keselamatan Siber ASEAN

Presiden Palo Alto Networks, Asia Pasifik dan Jepun (JAPAC), Simon Green
06/11/2025 10:17 AM

Oleh Rosemarie Khoo Mohd Sani

 

KUALA LUMPUR, 6 Nov (Bernama) -- Kerjasama lebih kukuh antara kerajaan dan industri penting bagi membantu melindungi negara, perniagaan dan rakyat di seluruh ASEAN ketika kecerdasan buatan (AI) dan teknologi canggih mencorakkan semula ekonomi global dan mengubah landskap ancaman siber.

Presiden Palo Alto Networks, Asia Pasifik dan Jepun (JAPAC), Simon Green berkata bagi mendepani ancaman digital yang semakin pantas berkembang kita memerlukan bukan sahaja teknologi canggih tetapi juga kerjasama berterusan merentasi sektor, sempadan dan juga pesaing.

"Keselamatan siber tidak lagi boleh dilihat sebagai kelebihan daya saing. Ia adalah tanggungjawab bersama," kata Green kepada Bernama menerusi satu temu bual secara maya.

Beliau berkata "pelaku jahat" sudahpun saling bekerjasama dengan sangat pantas, berkongsi instrumen dan strategi untuk mengeksploitasi kelemahan, dan pihak pelindung perlu belajar melakukan perkara yang sama.

 

 

Budaya Kerjasama dan Keterbukaan

 

Tidak seperti pendekatan keselamatan tradisional yang bergantung kepada pertahanan organisasi individu, Green berkata era baharu AI menuntut tindakan bersama antara sektor awam dan swasta.

“Musuh hari ini beroperasi tanpa mesyuarat lembaga atau proses perundangan. Mereka bergerak pantas dan berkongsi dengan bebas.

"Untuk menanganinya, kerajaan dan industri juga perlu bekerja lebih pantas dan lebih banyak berkongsi antara satu sama lain," katanya.

Beliau berkata Palo Alto Networks, salah sebuah firma keselamatan siber terkemuka di dunia, aktif menjadi perantara bagi kerjasama antara perusahaan, pengawal selia dan penggubal dasar di seluruh ASEAN untuk menggalakkan perkongsian maklumat, analisis ancaman bersama dan tindak balas yang diselaraskan terhadap serangan.

Syarikat itu juga bekerjasama dengan pihak berkuasa bagi memastikan undang-undang dan rangka kerja siber yang baharu boleh bertindak balas terhadap ancaman moden.

Bagaimanapun, beliau berkata, proses birokrasi yang perlahan dan tadbir urus yang tidak sekata terus  menjadi cabaran utama bagi banyak negara dalam menangani serangan siber masa nyata.

“Namun begitu, perubahan sedang berlaku. Malaysia, sebagai contoh, telah mencapai kemajuan ketara dengan mengiktiraf keselamatan siber sebagai tonggak penting dalam daya tahan negara dan daya saing ekonomi.

"Malaysia semakin matang. Hakikat bahawa negara mengutamakan perlindungan rakyat dan infrastruktur negara amat dihargai, tetapi kepantasan pelaksanaan akan menentukan kejayaannya," katanya.

 

 

Pengembangan Teknologi Baharu Berisiko: AI, Pengkomputeran Awan, Ketersambungan

 

Kemunculan serangan siber yang menggunakan AI telah meningkatkan risiko keselamatan siber di peringkat serantau.

Sebelum ini serangan mengambil masa berminggu-minggu atau berhari-hari untuk berlaku, tetapi AI kini membolehkan penyerang menyusup masuk dan mengekstrak data dalam masa hanya beberapa minit, katanya.

Setelah memanfaatkan pembelajaran mesin dan AI selama lebih sedekad, Green berkata Palo Alto Networks menyedari bahawa keterujaan untuk menggunakan AI selalunya mengatasi kesediaan dari segi keselamatan.

"Orang ramai membina AI dengan pantas tetapi tidak selamat. Pembinaan produk teknologi yang selamat perlu menjadi satu kebiasaan," katanya.

Pada masa yang sama, transformasi pesat digital ASEAN, migrasi awan yang dipercepatkan, penggunaan Internet pelbagai benda (IoT) dan peningkatan peranti yang terhubung telah meningkatkan ‘attack surface’ (pelbagai titik masuk persekitaran IT yang mudah diserang penggodam untuk mengekstrak data). 

Landskap keselamatan siber hari ini agak kompleks, dengan organisasi menguruskan purata 83 penyelesaian keselamatan daripada 29 vendor, sekali gus mewujudkan risiko dan ketidakcekapan yang tidak perlu.

Untuk menangani masalah ini, pemudahan keselamatan melalui platformisasi – menggabungkan alatan ke dalam satu platform disatukan yang mengukuhkan pertahanan, mempercepatkan masa tindak balas dan mengubah keselamatan daripada menumpu kepada kos kepada pemacu nilai – yang mana merupakan satu yang mustahak.

"Kelajuan pendigitalan mengatasi kepantasan pertahanan. Jika keselamatan tidak diterapkan dari awal, setiap ruang yang terbuka akan mengundang serangan," kata Green.

Beliau berkata negara-negara ASEAN berada pada peringkat kematangan keselamatan siber yang berbeza, dengan Singapura mendahului dalam rangka kerja penerimagunaan dan tadbir urus AI, manakala negara-negara lain sedang mengejar melalui platform perkongsian pengetahuan.

"Acara seperti Minggu Siber Antarabangsa Singapura penting dalam menyelaraskan perbincangan dua hala dan membantu negara-negara belajar antara satu sama lain.

"Kesediaan untuk berkongsi risikan ancaman dan pengajaran yang dipelajari adalah apa yang memajukan rantau ini," katanya.

 

Melabur dalam Bakat dan Kesediaan Masa Depan

 

Selain teknologi, Green berkata kelebihan seterusnya dalam daya tahan keselamatan siber terletak pada tenaga kerja dan menyatakan bahawa kekurangan profesional mahir masih menjadi antara cabaran terbesar ASEAN.

Bagi merapatkan jurang ini, beliau berkata Palo Alto Networks telah bekerjasama dengan universiti di seluruh dunia, termasuk di Asia Tenggara, untuk membangunkan kurikulum keselamatan siber dan program latihan amali.

Inisiatif "Cyber Kids" mereka juga memperkenalkan konsep keselamatan digital kepada kanak-kanak sekolah, sekali gus menggalakkan kesedaran dan tingkah laku dalam talian yang bertanggungjawab sejak usia muda.

Palo Alto Networks juga baru-baru ini bekerjasama dengan Cyberlite untuk melancarkan Kit Alat Keselamatan AI dalam Bilik Darjah, sumber pertama seumpamanya yang memperkasakan pendidik, ibu bapa dan pelajar untuk memahami AI generatif, berfikir secara kritis dan menggunakan AI secara selamat dan beretika.

Pelajaran modular ini membantu bukan pakar mengajar kemahiran utama seperti mengesan ‘deepfake’ (dimanipulasi menggunakan AI), mengenali ‘bias’ (merujuk kepada diskriminasi sistematik yang tertanam dalam sistem AI) dan memahami risiko dunia sebenar AI.

"Membangunkan bakat merupakan usaha yang berpanjangan, tetapi kita perlu bermula lebih awal. Daripada bilik darjah hinggalah ke bilik lembaga pengarah, semua orang mesti memahami nilai kepercayaan digital," katanya.

Profesional siber pada masa depan bukan sahaja mesti dilengkapi secara teknikal tetapi juga perlu tangkas untuk menyesuaikan diri dengan ancaman yang sentiasa berubah, daripada serangan berkuasa AI kepada kerentanan era kuantum, katanya.

Ketika ekonomi ASEAN bergerak pantas menuju ke arah dunia pendigitalan yang lebih meluas, keperluan kepada tindakan secara kolektif menjadi semakin mustahak.

Green menegaskan bahawa kerjasama terbuka, pertahanan bersepadu dan perkongsian proaktif risikan ancaman akan menentukan daya tahan rantau ini.

"Reputasi yang dibina selama beberapa dekad boleh hilang hanya dalam sekelip mata. Dalam era AI, kepantasan, keterbukaan dan kerjasama akan menjadi pertahanan terhebat kita," katanya.

-- BERNAMA