Setiausaha Agung ASEAN Puji Kepimpinan Malaysia - Perjanjian Damai KL, Kemasukan Timor-Leste

Setiausaha Agung ASEAN Dr Kao Kim Hourn berucap pada perasmian Forum Media ASEAN ke-9 2025 hari ini.
06/11/2025 07:19 PM

KUALA LUMPUR, 6 Nov (Bernama) -- Setiausaha Agung ASEAN Dr Kao Kim Hourn memuji peranan penting Malaysia di bawah kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam usaha menyelesaikan konflik sempadan Thailand-Kemboja yang membawa kepada pemeteraian Perjanjian Damai Kuala Lumpur.

Beliau berkata Perjanjian Damai KL, yang dicapai dengan sokongan Amerika Syarikat dan China, merupakan “pencapaian luar biasa” yang berjaya mengelakkan konflik itu daripada berlarutan.

“Gencatan senjata itu dicapai hasil usaha Pengerusi ASEAN. Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama Menteri Luar serta pasukan dari Kementerian Luar dan Kementerian Pertahanan memainkan peranan penting dalam memeterai gencatan senjata tersebut,” kata Kao dalam ucapan pembukaannya pada Forum Media ASEAN ke-9 di sini, Khamis.

Dalam sesi pertemuan terdahulu, beliau berkata Anwar melalui diplomasi telefon telah menghubungi beberapa pemimpin bagi mendapatkan sokongan mereka terhadap gencatan senjata dan seterusnya penandatanganan Perjanjian Damai KL.

Kao menambah bahawa dengan termeterainya perjanjian itu, terdapat banyak harapan dan keyakinan bahawa ASEAN akan terus menumpukan usaha mengekalkan serta memupuk keamanan dan kestabilan serantau.

Beliau turut memuji Malaysia atas kejayaan diplomatik serantau dengan kemasukan penuh Timor-Leste sebagai anggota ke-11 ASEAN, menandakan detik bersejarah bagi blok serantau itu.

Beliau berkata kemasukan rasmi Timor-Leste pada 26 Okt melengkapkan proses peluasan ASEAN seperti yang digariskan dalam Piagam ASEAN, sekali gus membawa perjalanan pembinaan komuniti serantau itu ke tahap baharu.

“Saya berpandangan Malaysia telah mencapai satu kejayaan besar dengan kemasukan penuh Timor-Leste sebagai anggota ASEAN,” katanya.

Sementara itu, Kao berkata kepengerusian Malaysia dalam ASEAN tahun ini bukan sahaja menyaksikan kejayaan penganjuran Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan, tetapi juga melambangkan komitmen ASEAN terhadap keterangkuman dan kemampanan.

“Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 merupakan satu kejayaan dan pencapaian luar biasa bukan sahaja bagi Malaysia sebagai Pengerusi, tetapi juga bagi ASEAN secara keseluruhannya,” katanya sambil menyifatkannya sebagai satu daripada perhimpunan paling dinamik dalam sejarah blok itu.

Menurut Kao sidang kemuncak yang berlangsung di Kuala Lumpur itu menghimpunkan para pemimpin dari Asia, Eropah, Amerika Utara dan Selatan serta Afrika, sekali gus menunjukkan peningkatan pengaruh global ASEAN dan memperkukuh kredibilitinya ke arah menjadi organisasi yang benar-benar bersifat global.

Dari segi ekonomi, Kao berkata sidang kemuncak itu turut mencapai kemajuan penting menerusi pemeteraian Perjanjian Perdagangan Barang ASEAN (ATIGA) yang dinaik taraf serta penyempurnaan penting Perjanjian Rangka Kerja Ekonomi Digital ASEAN (DEFA).

Beliau turut menyatakan Malaysia menjadi tuan rumah Sidang Kemuncak Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) ke-5, memperkukuh kepusatan ekonomi ASEAN.

“Kerjasama dengan rakan-rakan kita, termasuk Protokol Penaiktarafan Kawasan Perdagangan Bebas ASEAN-China (ACFTA) 3.0 dan penglibatan dengan AS di bawah Perjanjian Rangka Kerja Perdagangan dan Pelaburan, mencerminkan peluasan jaringan kerjasama ASEAN,” tambahnya.

Kao turut menekankan penglibatan aktif ASEAN di peringkat luar, dengan menyatakan bahawa jemputan Pengerusi kepada pemimpin dari Brazil dan Afrika Selatan mencerminkan keterbukaan rantau ini terhadap jalinan kerjasama baharu.

Forum Media ASEAN ke-9 yang berlangsung di Kuala Lumpur telah menghimpunkan tokoh media kanan, pembuat dasar dan pemikir bagi memperkukuh komunikasi mengenai kemajuan dan keutamaan ASEAN.

-- BERNAMA