Naik Taraf AITIGA, Kerjasama Semikonduktor Tingkatkan Hubungan Ekonomi ASEAN-India - Penganalisis

Penganalisis Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa (ISIS) Malaysia Jaideep Singh - Kredit: Jaideep Singh
09/11/2025 10:49 AM

Oleh Zufazlin Baharuddin

KUALA LUMPUR, 9 Nov (Bernama) -- Perjanjian Perdagangan Barangan ASEAN-India (AITIGA) yang dinaik taraf dan kerjasama semikonduktor dengan India yang diperluaskan dijangka membentuk fasa seterusnya dalam hubungan ekonomi ASEAN-India, kata penganalisis.

Pada Sidang Kemuncak ASEAN-India ke-22, yang diadakan baru-baru ini bersempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata AITIGA telah mencapai kemajuan sebenar, dengan ASEAN komited untuk memuktamadkan perjanjian itu menjelang akhir tahun.

Penganalisis Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa (ISIS) Malaysia Jaideep Singh berkata sasaran akhir tahun itu adalah realistik berdasarkan ASEAN dan India telah mengadakan sekurang-kurangnya sembilan pusingan rundingan.

Beliau berkata kedua-dua pihak telah memberikan respons positif terhadap keperluan untuk membuat semakan semula dan menaik taraf perjanjian berusia 15 tahun itu untuk memastikan ia mencerminkan perkembangan terkini dalam perdagangan, termasuk peruntukan yang lebih besar untuk perdagangan digital dan tanpa kertas serta prosedur memudah cara perdagangan yang lebih lancar.

“Semakan semula itu merupakan peluang untuk mengemas kini jadual tarif, memodenkan peraturan tempasal, mempertingkat dalam memudah cara perdagangan digital dan menggalakkan pengiktirafan kelayakan secara bersama.

“Penting bagi AITIGA yang dikemas kini mempunyai peruntukan untuk menangani halangan bukan tarif dan meningkatkan penggunaan perjanjian perdagangan bebas dalam kalangan perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

“Rumusan yang seimbang walaupun lebih perlahan daripada jangkaan tetapi masih dalam tempoh akhir tahun 2025, akan memberi petunjuk bahawa ASEAN dan India kekal komited terhadap perdagangan serantau yang terbuka dan berasaskan peraturan,” katanya kepada Bernama.

 

Semikonduktor merapatkan hubungan ASEAN-India

 

Jaideep berkata industri semikonduktor menawarkan laluan paling jelas untuk strategi yang saling melengkapi bagi ASEAN.

Beliau berkata kebanyakan negara ASEAN telah berada pada tahap penting dalam pemasangan, ujian dan pembungkusan manakala India berkembang pesat sebagai pusat pembuatan dan reka bentuk elektronik, selain kekuatannya dalam perisian dan kumpulan juruteranya yang besar.

“Baru-baru ini, Malaysia telah mengumumkan pelan untuk memuktamadkan memorandum kerjasama mengenai semikonduktor dengan India susulan memorandum persefahaman (MoU) Singapura dengan India mengenai kerjasama semikonduktor yang dimeterai tahun lepas,” katanya.

MoU terkini, dilaporkan pada Oktober 2025, menyaksikan Advanced Semiconductor Academy of Malaysia (ASEM) dan Indian Institute of Technology Madras (India) menjalin kerjasama strategik untuk memperkukuh kedudukan global dan daya tahan Malaysia dalam rantaian nilai semikonduktor.

Menurut ASEM, kerjasama itu akan memastikan kedudukan strategik dalam pasaran semikonduktor India yang berkembang pesat bernilai US$100 bilion (US$1 = RM4.18), memberi laluan kepada pelaburan baharu, usaha sama dan peluang pembangunan bersama yang akan meningkatkan daya saing Malaysia sebagai ekonomi berasaskan reka bentuk.

Jaideep berkata dengan menggunakan kerjasama ini sebagai model, inisiatif sama, bermula secara dua hala dan berpotensi berkembang menjadi pelbagai hala dapat menghubungkan syarikat di Asia Tenggara dan India dalam rantaian nilai semikonduktor, menggabungkan bakat dan pelaburan di bawah rangka kerja ASEAN yang terkini untuk mewujudkan rantaian bekalan semikonduktor yang bersepadu.

 

Kerjasama serantau lebih luas

 

Penganalisis lain dari ISIS Malaysia, Dr Yanitha Meena Louis berkata Dasar Tindak Timur India dan perkongsian strategik komprehensif (CSP) ASEAN-India menawarkan rangka kerja yang kukuh bukan sahaja untuk kerjasama perdagangan dan perindustrian malah untuk inisiatif serantau yang lebih luas seperti keselamatan maritim, bantuan bencana dan ekonomi biru.

Mengenai masa depan, katanya CSP perlu menggariskan sinergi antara inisiatif yang diterajui India seperti International Solar Alliance, Coalition for Disaster Resilient Infrastructure (CDRI), Global Biofuel Alliance serta matlamat dan keutamaan jangka panjang ASEAN terutamanya dalam Visi Komuniti 2045.

“India telah menyatakan peranannya sebagai penyampai bantuan pertama di rantau ini, yang wajar dipuji berdasarkan usahanya yang berterusan dalam memberikan sokongan ketika berlaku bencana.

“India juga berada pada kedudukan strategik untuk memanfaatkan rangka kerja CDRI bagi memberi tumpuan kepada kerjasama bantuan bencana dan menggunakan kedudukannya dalam Indian Ocean Rim Association untuk memacu usaha membina ekonomi biru secara kolektif bersama rakan-rakan ASEAN melalui kerjasama ASEAN–Indian Ocean Rim Association,” katanya.

Gabungan liberalisasi perdagangan melalui AITIGA, kerjasama semikonduktor bernilai tinggi dan inisiatif serantau India yang lebih luas menempatkan ASEAN dan India untuk memperkukuh hubungan ekonomi dan meletakkan asas untuk fasa kerjasama mereka yang seterusnya.

-- BERNAMA