MITI Harap Pengganti Akan Teruskan Legasi Kepimpinan Tengku Zafrul - Liew Chin Tong
KUALA LUMPUR, 14 Nov (Bernama) -- Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) berharap sesiapa juga yang akan menggantikan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz selepas tempoh perkhidmatan beliau berakhir pada 2 Disember 2025, akan meneruskan usaha cemerlang kepimpinannya.
Timbalan Menterinya Liew Chin Tong berkata Tengku Zafrul telah menetapkan penanda aras yang tinggi dan MITI berharap Menteri yang dilantik seterusnya akan terus meningkatkan industri Malaysia, memperkukuh hubungan perdagangan negara dan menambah baik ekosistem pelaburan.
“Memang, dalam tempoh tiga tahun ini, Tengku Zafrul telah menunjukkan bahawa MITI memainkan peranan penting dalam menjayakan industri kita, memperkukuh hubungan perdagangan dengan negara lain dan menggalakkan pelaburan ke dalam negara di bawah kepimpinannya.
“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Tengku Zafrul bagi pihak MITI dan juga rakyat Malaysia atas kepimpinannya,” katanya kepada media selepas merasmikan MITI Asean Day 2025, di sini, hari ini.
Hari terakhir Tengku Zafrul bersama kementerian itu serentak dengan berakhirnya perkhidmatan beliau di Dewan Negara.
Tengku Zafrul, yang telah berkhidmat sebagai senator selama dua penggal sejak 2020, akan menamatkan tempoh perkhidmatannya selama enam tahun di Dewan Negara pada 2 Disember depan.
-- BERNAMA
