Minggu China-ASEAN 2025 Cermin Kerjasama Semakin Rancak
FUZHOU, 18 Nov (Bernama-CMG) -- China dan negara ASEAN akan terus membina konsensus, menjana impak sosial, menangani risiko, menyahut cabaran, mengemukakan dan melaksanakan "Pakej Penyelesaian China-ASEAN" yang boleh membawa kepada masa depan yang cerah demi pembinaan komuniti berkongsi nasib China-ASEAN yang lebih padu.
Perkara itu dinyatakan Setiausaha Agung Pusat China-ASEAN, Shi Zhongjun ketika menghadiri Minggu China-ASEAN 2025 yang membuka tirainya di sini pada Isnin.
Dalam majlis pembukaan berkenaan, Yang Dipertua Dewan Negara Datuk Awang Bemee Awang Ali Basah berkata ASEAN dan China perlu bersatu-padu menghadapi cabaran dan tekanan serta menyuntik lebih banyak kestabilan dan kepastian kepada rantau ini.
Turut hadir, perwakilan dari negara tuan rumah dan kesemua 11 anggota ASEAN.
Minggu China-ASEAN 2025 yang bertemakan “Berkongsi Nasib: Mengaitkan Wawasan ASEAN 2045 dengan Modeniasi Ala China”, merangkumi 12 buah aktiviti utama dan komponen yang bertujuan mencetuskan momentum bagi pembinaan komuniti berkongsi nasib China-ASEAN yang lebih padu.
Menurut perangkaan yang terkandung dalam satu laporan yang dikeluarkan dalam upacara pembukaan berhubung perkembangan kerjasama pelaburan dan perdagangan China-ASEAN bagi tahun 2024 hingga 2025, China dan ASEAN telah menjadi rakan dagang terbesar antara satu sama lain untuk beberapa tahun berturut-turut.
China-ASEAN mengekalkan pertumbuhan pada kadar tinggi dalam bidang perdagangan dua hala pada 2024, malah kadar pertumbuhan itu meningkat 8.2 peratus dari Januari hingga Oktober tahun ini, dengan menokok US$862.73 bilion (RM3.6 trilion).
Selain itu, sempena Minggu China-ASEAN 2025, Bursa Hasil Laut China-ASEAN sebagai bursa antarabangsa yang pertama di dunia dalam bidang hasil laut, akan merasmikan urusan rentas sempadan di bawah kendaliannya.
-- BERNAMA-CMG
