Hubungan ASEAN, Kesatuan Afrika Perlu Maju Melangkaui Simbolisme -- PM Anwar
Daripada M. Saraswathi
ADDIS ABABA, 20 Nov (Bernama) -- Hubungan ASEAN dan Kesatuan Afrika perlu bergerak maju melangkaui simbolisme dan dibentuk menerusi kerjasama tulen yang berpaksikan rakyat, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Ketika menegaskan perkara itu, beliau berkata walaupun rangka kerja serta inisiatif sedia ada sudah memadai untuk dijadikan asas, kedua-dua rantau sebaliknya perlu lebih proaktif dalam usaha mewujudkan mekanisme berlandaskan kepentingan bersama yang berteraskan pengalaman masing-masing dalam aspek seperti ketahanan, pembaharuan dan pemulihan.
“Dalam senario semasa realiti geopolitik yang mendesak kita untuk merombak semula pendekatan strategik, saya lebih mengenang semangat yang membawa kepada pengisytiharan kerjasama antarabangsa dan diterima pakai pada Persidangan Asia-Afrika di Bandung, Indonesia, tujuh dekad lepas yang meletakkan asas ideologi bagi Gerakan Berkecuali,” kata beliau ketika berucap pada Forum Belia Afro-Malaysia di sini, hari ini.
Sehubungan itu, Anwar yang juga atas kapasiti beliau sebagai Pengerusi ASEAN, berkata tiba masanya bagi Kesatuan Afrika dan ASEAN untuk bertindak menyuntik nafas baharu terhadap semangat berkenaan bagi memeterai kerjasama padu baharu yang saling menguntungkan serta kemakmuran bersama -- bukan sekadar slogan mudah tetapi menjadi aspirasi yang boleh direalisasikan.
Pada masa sama, beliau turut menekankan kepentingan bagi komuniti Selatan Global untuk bersatu dalam mengharungi tempoh mencabar pada masa ini.
“Secara kolektif, tidak kiralah sama ada di Afrika, Asia, Amerika Tengah dan Selatan serta pelusuk lain dunia, kita tidak pernah berdepan satu peluang untuk membentuk semula peranan yang diletakkan dalam aturan global.
“Kita perlukan banyak kepimpinan yang lebih mewakili serta saksama dalam struktur serantau dan global yang sedang terbentuk pada masa ini.
“Kepimpinan yang berasaskan kerjasama dan bertanggungjawab kepada semua pihak berkepentingan dan bukan setakat golongan berkuasa dan kaya. Inilah perbincangan kita di beberapa bahagian Asia dengan rakan-rakan berpendirian sama di Eropah, Pasifik dan Amerika Selatan...malah saya yakin ini akan lengkap menerusi penglibatan Afrika,” kata Anwar.
Bertemakan “Youth Partnership for Shared Prosperity,” (Kerjasama Belia bagi Kemakmuran Bersama), forum ini adalah anjuran bersama Majlis Belia Ethiopia, Kesatuan Belia Pan-Afrika dan Majlis Belia Malaysia dan dihadiri oleh 250 peserta.
Acara itu turut dihadiri Menteri Wanita dan Hal Ehwal Sosial Ethiopia Ergoge Tesfaye; Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Datuk Seri Zaliha Mustafa serta Kuasa Usaha Sementara Kedutaan Besar Malaysia di Ethiopia Mohd Afandi Abu Bakar.
Ethiopia merupakan destinasi pertama dalam rangka lawatan Perdana Menteri ke benua Afrika.
Lawatan tiga hari Anwar yang bermula pada 18 November ke wilayah diberi julukan “Horn of Africa,” berakhir hari ini selain menjadi lawatan pertama oleh seorang Perdana Menteri Malaysia.
Dari Addis Ababa, beliau akan meneruskan lawatan kerja ke Johannesburg, Afrika Selatan mulai hari ini hingga 23 November bagi menghadiri Sidang Kemuncak Pemimpin G20 dan seterusnya lawatan rasmi ke Nairobi, Kenya, pada 23 hingga 24 November.
-- BERNAMA
