Malaysia Hanya Fasilitator, Tidak Campur Tangan Isu Sempadan Thailand-Kemboja - Fahmi Fadzil
KUALA LUMPUR, 23 Nov (Bernama) -- Malaysia tidak pernah campur tangan dalam pertikaian sempadan antara Thailand dengan Kemboja, sebaliknya hanya bertindak sebagai fasilitator atas permintaan kedua-dua negara dan kekal menjadi sebuah negara yang berpendirian neutral.
Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil berkata dakwaan bahawa Malaysia menyebelahi mana-mana pihak adalah tidak benar, memandangkan semua keputusan termasuk syarat gencatan senjata dan perjanjian perdamaian ditentukan sendiri oleh pihak Thailand dan Kemboja.
“Malaysia memainkan peranan sebagai fasilitator, bukan mediator. Kedua-dua pihak menghadapi kesukaran berhubung secara langsung dan mereka meminta Malaysia membantu. Negara kita neutral dan tidak berpihak kepada mana-mana kuasa geopolitik,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan majlis penutupan Seminar Kesedaran Penipuan Siber Komuniti India Lembah Pantai di sini, hari ini.
Fahmi berkata dakwaan pihak tertentu di Thailand kononnya Malaysia campur tangan, “tersasar jauh” dan tidak mewakili pendirian rasmi kerajaan negara itu.
“Ini satu dakwaan yang tidak baik dan tidak betul. Malaysia tidak masuk campur dalam perihal mana-mana negara, apatah lagi negara jiran,” katanya.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini menafikan dakwaan sesetengah pihak di Thailand yang menuduh beliau campur tangan dalam urusan negara itu, berhubung pertikaian sempadan dengan Kemboja.
Menyifatkan tuduhan itu sebagai tidak berasas, Perdana Menteri mengajak pihak yang mengecam beliau agar memahami peranan Malaysia dalam membantu menyelesaikan pertikaian antara kedua-dua negara, sebelum membuat kenyataan tanpa usul periksa.
Semalam sekumpulan individu membawa bendera Thailand dan kain rentang berkumpul di Kedutaan Malaysia di Bangkok dan menuduh Anwar sebagai Pengerusi ASEAN telah campur tangan dalam usaha negara terbabit mempertahankan kedaulatannya.
Kumpulan berkenaan menuntut Anwar menghentikan tekanan supaya Thailand berunding dengan Kemboja mengenai kawasan sempadan yang dipertikaikan, selain menuduh Perdana Menteri melakukan “campur tangan politik”,
Mereka turut mendakwa Malaysia serta Amerika Syarikat cuba mempengaruhi keputusan Thailand secara tidak wajar.
-- BERNAMA
