Isu Sempadan: Anutin Hubungi PM, Beri Jaminan Dakwaan Mengenai Peranan Malaysia Tidak Benar

25/11/2025 04:14 PM

Daripada M. Saraswathi

NAIROBI, 25 Nov (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah dihubungi secara peribadi oleh rakan sejawatnya dari Thailand, Anutin Charnvirakul, yang memberi jaminan bahawa dakwaan mengenai peranan Malaysia dalam isu sempadan negara itu dengan Kemboja adalah tidak benar dan tidak adil.

"Perdana Menteri Thailand menghubungi saya pagi ini untuk memberi jaminan bahawa dakwaan itu adalah tidak benar,” katanya sambil menegaskan bahawa Putrajaya hanya berperanan sebagai pemudah cara dalam isu sempadan itu.

“Beliau berpendapat bahawa kritikan terhadap Malaysia adalah tidak adil...  beliau mengetahui fakta sebenar dan berkata Anwar, jangan risau, kami tahu peranan anda hanya sebagai pemudah cara. Keputusan terletak sepenuhnya di tangan pihak Thailand dan Kemboja.” 

Anutin dijadualkan tiba di sini esok.

Kedua-dua pemimpin dijadual mengadakan mesyuarat dua hala bagi membincangkan cara untuk meningkatkan lagi kerjasama antara Thailand dan Malaysia.

Dalam perkembangan berkaitan, Perdana Menteri berkata beliau tidak terkejut namun berasa kecewa apabila segelintir pihak di Malaysia kelihatan “terlalu ghairah” mengutuk kerajaan walaupun peranan negara dalam isu itu telah dinyatakan dengan jelas.

“Kita dikritik untuk apa? Kita hanya diminta memudah cara bagi memastikan keamanan di rantau ini. Jadi, saya rasa rakyat Malaysia sepatutnya menyambut baik perkara ini, ia bukan soal Anwar seorang sahaja kerana ramai pihak lain turut terlibat.”

Beliau turut menzahirkan rasa kesal terhadap sikap sesetengah ahli politik yang beranggapan bahawa mereka sahaja tahu apa yang terbaik dan bertindak seolah-olah segala keputusan ditentukan oleh seorang individu, sedangkan itu bukan kenyataannya.

“Terdapat Kementerian Luar, Kementerian Dalam Negeri, Kementerian Pertahanan dan Panglima Angkatan Tentera.

"Ramai lagi pihak terlibat, menjadikan urusan ini lebih mudah berkat kesediaan Malaysia untuk memudah cara perkara ini,” katanya.

Anwar berkata selepas mengadakan pertemuan dua hala dengan Anutin, beliau akan berlepas ke Sabah.

-- BERNAMA